KOTA KINABALU: Pasukan peguam Datuk Ram Singh yang memohon penangguhan inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir, di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis menjelaskan tindakan itu bagi mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah.
Beliau berkata, permohonan mereka bukan bertujuan melengahkan proses mencari kebenaran dalam kes kematian arwah Zara Qairina.
“Ketika kami memohon penangguhan, ia bukan kerana mahu menangguhkan prosiding. Itu adalah sebahagian daripada proses undang-undang yang berhak dimanfaatkan.
“Kami hanya mahu mendapatkan arahan lanjut daripada mahkamah sebelum sesi berikutnya,” katanya ditemui selepas pendengaran permohonan peguam berhubung pihak berkepentingan peguam dalam inkues berkenaan di Mahkamah Koroner, di sini, pada Khamis.
Permohonan itu bagaimanapun ditolak Koroner Azreena Aziz selepas mendapat bantahan Jabatan Peguam Negara (AGC) dan peguam mewakili arwah Zara Qairina.
Berikutan itu, tarikh inkues yang dijadual bermula 3 dan 4 September depan akan diteruskan.
Ram Singh bersama pasukan guamannya adalah peguam mewakili seorang daripada lima remaja yang didakwa atas kesalahan buli dalam kes kematian arwah Zara Qairina di Mahkamah Kanak-Kanak.
Beliau berkata, pasukan peguam turut menekankan kepentingan untuk memastikan semua saksi, termasuk saksi kanak-kanak, dilindungi sepenuhnya sepanjang prosiding inkues.
“Kami belum diberikan senarai saksi. Sama seperti pihak lain, kami juga mahu tahu siapa saksi-saksi berkenaan, terutama jika melibatkan saksi kanak-kanak, perlindungan terhadap mereka perlu diutamakan,” katanya.
Katanya, isu arahan dan pengendalian saksi adalah perkara yang amat penting dan pihaknya berharap segala proses dapat berjalan dengan teratur dan adil.
“Kami percaya kebenaran akan terdedah melalui prosiding inkues ini. Inkues adalah proses mencari fakta untuk menjawab persoalan kenapa dan bagaimana sesuatu kejadian berlaku,” katanya.
Beliau berkata pasukan peguam bela berhak untuk menentang sebarang isu atau bukti yang dianggap boleh menjejaskan hak anak guam mereka, selaras dengan peruntukan undang-undang. – Info X