Search

15 September cuti umum tambahan, JTK ingatkan majikan patuhi peruntukan Ordinan Buruh

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengisytiharkan 15 September depan sebagai hari kelepasan am tambahan sempena sambutan Hari Malaysia 2025.

Cuti itu diwartakan melalui Warta Kerajaan bertarikh 18 Ogos 2025, yang menyatakan Yang di-Pertua Negeri menetapkan 15 September 2025 (Isnin) sebagai Hari Kelepasan tambahan.

Ia diisytiharkan di bawah Seksyen 9, Ordinan Hari Kelepasan (Bab 56) yang juga cuti umum diperuntukkan kepada pekerja di sektor swasta mengikut Seksyen 103 (1)(b) Ordinan Buruh Sabah (Sabah Bab 67).

Sehubungan itu, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah dalam satu kenyataan berkata majikan boleh memberi cuti pada hari Isnin, 15 September 2025 atau mengganti mana-mana hari lain sebagai ganti cuti umum bergaji kepada pekerja.

“Majikan dikehendaki berbincang dengan pekerja mereka sama ada memilih tarikh tersebut sebagai cuti umum atau menggantikannya dengan tarikh yang lain.

“​Sekiranya tiada penggantian, pekerja yang bekerja pada tarikh tersebut layak menerima kadar gaji bagi cuti umum.

“JTK Sabah menggesa majikan untuk memenuhi pemberian hari cuti umum tambahan tersebut kepada pekerja,” katanya. – Info X