Search

Liga Super: Sang Badak seri lagi di Likas

August 29, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah FC sekali lagi mencatat keputusan seri selepas terikat dengan keputusan 1-1 ketika menentang Melaka FC di Stadium Likas, malam ini.

Keputusan itu turut menyaksikan harapan Sang Badak untuk melakar kemenangan di gelanggang sendiri juga tersasar.

Sang Badak menguasai perlawanan dari babak pertama lagi, namun malangnya gagal mencipta sebarang jaringan sehinggalah pada minit ke-60.

Bagaimanapun, jaringan Ajdin Mujagic itu gagal ditambah atau dipertahankan apabila Melaka berjaya menyamakan kedudukan melalui Muhammad Irfan Zakaria pada minit ke-84.

Secara keseluruhan, skuad Sang Badak berjaya mencipta banyak peluang untuk mencipta jaringan, namun tersasar mungkin disebabkan keadaan padang yang licin berikutan hujan.

Nasib kurang baik Sabah itu dapat dilihat dari awal minit perlawanan lagi apabila dikejutkan gol awal pasukan lawan pada minit ketiga.

Sang Badak hanya bernasib baik apabila jaringan Juan Douglas Da Silva itu tidak diambil kira kerana pemain Melaka itu disahkan dalam kedudukan ofsaid.

Berikutan keputusan malam ini, Sabah hanya mampu mengumpul tiga mata setelah seri tiga kali berturut-turut dalam tiga perlawanan awal Liga Super musim ini. – Info X