Search

PGA TAWAU USIR ENAM PATI CUBA MENYUSUP MASUK PERAIRAN NEGARA

May 19, 2022

admin

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba menyusup masuk menggunakan bot jongkong serta bot laju dalam operasi di kawasan perairan Sungai Melayu, di sini, semalam.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Abdul Rani Alias berkata, semua bot yang dinaiki dua lelaki dan empat wanita berusia 13 hingga 60 tahun itu dipintas sebelum diiringi keluar dari perairan negara dalam operasi kira-kira jam 8 pagi itu.

“Pergerakan semua bot berkenaan berjaya dikesan pasukan operasi Batalion 14 PGA Tawau yang sedang menjalankan rondaan Op Taring.

“Semua bot dan jongkong berkenaan dikesan dalam keadaan mencurigakan selepas dipercayai bergerak dari perairan antarabangsa Indonesia, masuk ke negara ini.

“Sebaik ditahan, pemeriksaan mendapati semua juragan bot dan penumpang tidak mempunyai dokumen keterangan diri yang sah.

“Soal siasat mendapati semua individu terbabit mengaku sebagai warga negara Indonesia dan ingin masuk ke Tawau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Rani memaklumkan pasukan operasi terus membuat pengusiran dengan mengiringi keempat-empat bot berkenaan keluar daripada perairan negara. – Info X