PARAR: Seorang lelaki tempatan ditahan polis selepas disyaki mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan terhadap Tuan Yang Terutama (TYT) Yang di-Pertua Negeri Sabah dan Ketua Menteri Sabah menerusi aplikasi TikTok.
Suspek berusia 45 tahun ditahan kira-kira jam 2.45 petang ini di Papar susulan laporan polis yang dibuat pada 7 September lalu berhubung hantaran daripada akaun TikTok @bentan_alamin_35.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, hasil semakan mendapati kandungan yang dimuat naik suspek bukan sahaja berunsur hasutan malah menggunakan kemudahan rangkaian secara tidak wajar.
“Dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang dipercayai digunakan untuk memuat naik kenyataan berkenaan.
“Hasil semakan awal mengesahkan suspek adalah pemilik akaun tiktok berkenaan yang memuat naik kenyataan berbaur hasutan terhadap TYT dan Ketua Menteri Sabah,” katanya dalam sidang, hari ini.
Menurutnya, siasatan mendapati suspek juga mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan penyalahgunaan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya lebih berhemah dan bertanggungjawab dalam menggunakan media sosial serta tidak sewenang-wenangnya mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial yang melanggar undang-undang dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang terlibat,” katanya.
Terdahulu, suspek dilaporkan membuat kenyataan di media sosial tiktok menyeru orang ramai berhimpun di hadapan permis kerajaan bagi menunjukkan protes kepada ketua menteri dan TYT. – Info X