Search

196 mangsa banjir dipindahkan ke PPS di Beaufort

September 10, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Seramai 196 mangsa daripada 62 keluarga dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon setakat pagi ini, susulan banjir yang melanda daerah ini sejak semalam.

Menurut kenyataan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah yang dikeluarkan jam 8 pagi, lapan kampung dilaporkan terkesan akibat bencana itu.

“Jumlah mangsa meningkat kepada 196 orang daripada 62 keluarga pagi ini, berbanding 121 mangsa daripada 39 keluarga pada jam 11.59 malam tadi,” katanya.

Katanya lagi, seramai 36 lelaki dewasa dan warga emas, 63 wanita dewasa dan warga emas, 51 kanak-kanak lelaki serta 46 kanak-kanak perempuan direkodkan berada di PPS berkenaan.

“Semua mangsa kini ditempatkan di PPK Selagon sebagai langkah keselamatan, manakala pemantauan berterusan dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah bersama agensi berkaitan,” katanya.

Sementara itu, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah memaklumkan beberapa laluan di Jalan Beaufort-Menumbok terjejas, termasuk kawasan berhampiran Kolej Komuniti Beaufort dan pejabat Jabatan Air Sabah Bahagian Beaufort, yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan berat.

Dalam pada itu, Jabatan Keretapi Sabah mengumumkan perkhidmatan kereta api hanya beroperasi dari Stesen Sembulan ke Stesen Beaufort bermula pagi ini.

“Perkhidmatan antara Beaufort ke Tenom masih belum beroperasi kerana banjir menenggelami landasan di antara Stesen Beaufort dan Stesen Saliwangan, selain tanah runtuh di antara Stesen Pangi dan Stesen Rayoh,” menurut jabatan itu.

Setakat ini, tiada kematian dilaporkan dan semua mangsa berada dalam keadaan selamat di pusat pemindahan. – Info X