Search

Inkues kematian Zara: Seorang pelajar senior dipercayai saksi pertama nampak arwah

September 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang pelajar senior dipercayai menjadi saksi pertama melihat Allahyarham Zara Qairina Mahathir dalam keadaan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada 16 Julai lalu.

Pengawal keselamatan, Linah Mansoding @ Jaliha, 65, memberitahu perkara itu kepada Mahkamah Koroner ketika membacakan keterangan bertulisnya pada inkues kematian arwah Zara, di sini, hari ini.

Katanya, ketika bertugas mengawal kawasan asrama perempuan pada hari kejadian, beliau didatangi seorang pelajar yang memberitahunya ada pelajar pengsan.

“Pada 15 Julai 2025, saya bertugas sebagai pengawal keselamatan bermula jam 8 malam sehingga 8 pagi keesokan harinya iaitu 16 Julai 2025.

“Sekitar jam 2 pagi pada 16 Julai 2025, saya telah membuat rondaan di asrama perempuan Blok Rabiatul Adawiyah dan tiada apa-apa kejadian berlaku.

“Saya kemudian bergerak ke blok asrama bersebelahan iaitu Blok Sumayyah yang juga asrama perempuan untuk membuat rondaan seterusnya.

“Sekitar jam lebih kurang 3 pagi, semasa saya berada di asrama Blok Sumayyah, saya telah dimaklum oleh seorang pelajar bahawa ada seorang pelajar perempuan pengsan di longkang asrama Blok Rabiatul Adawiyah.

“Saya terus bergegas ke asrama Blok Rabiatul Adawiyah dan melihat seorang pelajar perempuan yang dikenali dengan nama Zara terlentang di longkang asrama dalam keadaan tidak sedar diri,” katanya.

Beliau berkata, selepas melihat mangsa, beliau terus menghubungi Ketua Warden Asrama mengenai kejadian itu dan mengambil sekeping gambar Zara dalam keadaan terlentang di longkang terbabit.

“Selepas Ustaz Azhari (Ketua Warden) sampai di lokasi kejadian, beliau telah menghubungi hospital dan ambulans sampai pada sekitar jam 4 pagi.

“Pelajar yang dikenali sebagai Zara tersebut telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk terima rawatan,” katanya. – Info X