Search

Maut bertembung di Jalan Lintas

September 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Lintas, berhampiran simpang Plaza Metro Town, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, mangsa berusia lingkungan 20-an yang memandu kereta Nissan Grand Livina disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah oleh pegawai perubatan.

Tiga lelaki yang menaiki kereta Toyota Prius pula cedera sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata siasatan awal mendapati kenderaan Nissan Grand Livina yang datang dari arah Jalan Lintas bertembung dengan Toyota Prius yang keluar dadi simpang Plaza Metro Town.

“Akibat pelanggaran itu, pemandu Nissan Grand Livina disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu dan penumpang Toyota Prius cedera dan tersepit dalam kenderaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba telah menjalankan operasi mengeluarkan mangsa, sebelum mereka dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II untuk rawatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) kerana menyebabkan kematian akibat kemalangan jalan raya.

“Sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di talian 088-529220 untuk membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta mengamalkan pemanduan berhemah bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini. – Info X