KOTA KINABALU: Jabatan Peguam Negara (AGC) menyerahkan Notis Untuk Tunjuk Sebab kepada seorang pengguna media sosial berhubung satu hantaran di Facebook yang didakwa bersifat menghina mahkamah.
Notis itu dikeluarkan terhadap Che Muna Din semalam mengikut Aturan 52 Kaedah 2B Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, selepas beliau yang menggunakan akaun Facebook ‘Mona Din’ memuat naik hantaran berkaitan prosiding Inkues Kematian Zara Qairina Mahathir pada 4 September lalu.
Berdasarkan kenyataan jabatan itu hari ini, hantaran berkenaan antara lain mempertikai keterangan saksi Pakar Patologi Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu yang berpotensi mempengaruhi pandangan awam serta mengganggu perjalanan inkues.
“Hantaran notis itu adalah sebahagian daripada prosedur bagi memulakan prosiding pengkomitan kerana menghina mahkamah,” kata kenyataan itu.
Selain itu, jabatan berkenaan turut mendedahkan bahawa beberapa individu lain yang mengeluarkan kenyataan berkaitan kes sama bakal berdepan pertuduhan jenayah dalam masa terdekat.
“Jabatan ini (AGC) memandang serius sebarang tindakan yang boleh menjejaskan proses keadilan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan tegas mengikut undang-undang,” katanya.
AGC mengingatkan orang ramai supaya tidak memuat naik, mengulas atau menyebarkan sebarang hantaran yang boleh menimbulkan kekeliruan serta mengganggu prosiding mahkamah. – Info X