Search

TTS KELUARKAN 41 NOTIS AMARAN, LIMA PONDOHAN DIROBOHKAN

May 21, 2022

admin

KUDAT: Taman Taman Sabah (TTS) mengeluarkan notis ke atas 41 rumah selain merobohkan lima pondohan dalam operasi Op Gasak Laut di perairan Si Bogo, Pulau Bangkawan, di sini, 18 Mei lalu.

Semua notis berkenaan mengarahkan penghuni berpindah sebelum struktur yang dibina akan dirobohkan.

Komander Kawasan Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSCOM) Deputi Komisioner Hamzah Ahmad berkata, hasil tinjauan menerusi aset-aset udara dan pemeriksaan lapangan mendapati pondohan berkenaan semakin bertambah.

“Hasil maklumat perisikan, pondohan haram berkenaan berpotensi untuk menjadi ‘staging point’ elemen jenayah membabitkan jenayah penculikan, rompakan dan penyeludupan di perairan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE).

“Oleh itu, operasi Op Gasak Laut ini diadakan bertujuan untuk mengambil tindakan terhadap pondok-pondok haram yang didirikan daripada terus berleluasa selain dieksploitasikan penjenayah rentas sempadan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Hamzah menyatakan pihak berkuasa akan menguatkuasakan perundangan dengan mengeluarkan notis mengikut peruntukan Seksyen 48(1)(j) Enakmen Taman Taman Sabah 1984 pindaan 2007 dan Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, Hamzah berkata, pihaknya bersiap sedia untuk menggempur pondohan, penempatan dan bagang haram di sepanjang pantai timur negeri ini. – Info X