Search

Maklumat awam bantu JSJN Sabah cekup lelaki bersama ekstasi

September 11, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerjasama erat antara masyarakat dan polis sekali lagi terbukti dengan kejayaan tangkapan lelaki warga asing bersama dadah bernilai RM5,100 dalam operasi di sebuah kondominium di Telipok, di sini, semalam.

Operasi yang dijalankan kira-kira jam 11 pagi hasil maklumat awam itu berjaya merampas 139.44 gram dadah yang dipercayai jenis ekstasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah, Asisten Komisioner Alhusin Halil berkata, operasi dijalankan sepasukan polis JSJN Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Sabah.

Katanya, hasil pemantauan, suspek berusia 20 tahun berjaya ditahan di kawasan parkir kondominium berkenaan.

“Hasil soal siasat awal, suspek menyerahkan sendiri sebuah beg silang berwarna coklat yang mengandungi enam paket plastik disyaki mengandungi dadah jenis ekstasi.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan bernilai RM5,100 berdasarkan harga pasaran semasa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, suspek terus dibawa ke pejabat JSJN IPK Sabah untuk proses dokumentasi sebelum diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Kinabalu bagi tindakan lanjut.

Sehubungan itu, Alhusin berkata, pihaknya akan terus komited membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

Katanya, orang ramai juga disarankan agar terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah dadah kepada pihak berkuasa.

“Siasatan lanjut akan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya. – Info X