Search

Inkues kematian Zara: Rakan sekolah arwah disahkan berpindah – saksi

September 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner diberitahu seorang daripada pelajar yang dikaitkan dengan insiden menimpa Allahyarham Zara Qairina Mahathir sudah berpindah sekolah.

Perkara itu disahkan Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika ditanya peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri pada prosiding inkues kematian arwah Zara di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini

Azhari mengiyakan perpindahan pelajar terbabit yang dinamakan sebagai ‘A’, namun mengaku tidak mengetahui punca atau alasan pelajar terbabit berpindah daripada sekolah berkenaan.

Beliau juga menjelaskan bahawa bukan bidang tugasnya membuat keputusan mengenai perpindahan pelajar walaupun Kementerian Pendidikan (KPM) difahamkan membekukan perpindahan pelajar.

Saksi kelapan inkues kematian Zara Qairina itu turut ditanya mengenai tindakan pihak sekolah terhadap empat lagi pelajar yang dinamakan B, C, D dan E selepas apa yang berlaku pada 15 Julai lalu.

Perkara itu merujuk kepada perjumpaan pelajar terbabit bersama arwah Zara Qairina dan pelajar lain berkaitan tuduhan mencuri terhadap arwah.

Pelajar A,B,C,D dan E adalah tertuduh remaja yang berdepan pertuduhan buli di Mahkamah Kanak-Kanak.

Azhari berkata, tindakan sekolah selepas itu hanya mengambil keterangan daripada pelajar terbabit dan memberi sesi kaunseling.

Beliau turut mengiyakan apabila ditanya Shahlan sama ada pelajar B, C, D dan E itu masih tinggal di asrama sekolah selepas insiden yang berlaku di sana pada 16 Julai lalu.

Bagaimanapun, katanya pelajar E yang juga ketua bilik tidak lagi menginap di bilik yang sama selepas kejadian itu kerana trauma.

“Sekarang pelajar E bukan lagi (ketua bilik) sebab dia bagi tahu dia trauma dengan kejadian ini dan tidak boleh menginap lagi di bilik itu,” katanya. – Info X