Search

Kerajaan bersolidariti bantu rakyat ketika bencana, pembangkang cari isu demi politik

September 21, 2025

Info X Reporters

Alias Abdullah

BENCANA banjir dan tanah runtuh yang menjejaskan ramai rakyat di beberapa daerah baru-baru ini, terutama di Penampang dan Papar mengundang rasa pilu terhadap nasib yang menimpa mereka.

Lebih menyedihkan apabila ada yang terkorban akibat ditimbus tanah runtuh, masing-masing tujuh sekeluarga di Kolombong dan dua keluarga membabitkan dua dan tiga mangsa di Papar.

Turut terkorban seorang warga emas di Kampung Sarapung, Penampang juga disebabkan tanah runtuh, manakala seorang kakitangan Sabah Electricity meninggal dunia selepas dihanyutkan arus deras di Keningau.

Selain itu, lebih 2,000 mangsa banjir terpaksa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Beaufort, Penampang, Membakut, Papar, Bongawan, Sipitang dan Putatan setelah kediaman mereka dinaiki air.

Bukan setakat itu, puluhan kejadian runtuhan tanah turut dikesan di pelbagai lokasi, termasuk menjejaskan Jalan Penampang – Tambunan, bangunan taman perumahan di Country Height, Penampang dan kampus Institut Pendidikan Guru (IPG) Gaya di Kota Kinabalu.

Menambahkan lagi kesan bencana alam itu apabila sebuah menara penghantaran elektrik berkuasa tinggi 275 kV dari Kolopis, Penampang ke Segaliud, Sandakan tumbang akibat tanah runtuh di Kampung Sarapung, Penampang.

Akibatnya, seluruh kawasan pantai timur Sabah hampir bergelap sepenuhnya selama beberapa hari berikutan terputus bekalan elektrik yang disalurkan melalui sistem grid dari loji janakusa di pantai barat.

Nasib baik ada janakuasa mudah alih yang dapat digerakkan segera ke semua lokasi strategik di beberapa daerah di pantai timur dengan keutamaan terhadap tempat kritikal seperti hospital dan klinik.

Besarnya kesan bencana itu menggambarkan betapa seriusnya bencana yang bermula sehari sebelum sambutan Hari Malaysia pada 16 September lalu itu hingga memaksa Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor memaklumkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman untuk membatalkan sambutan Hari Malaysia pada kali ini.

Meskipun persediaan rapi sudah dibuat di Padang Merdeka bagi memperingati acara bersejarah pembentukan Malaysia itu, namun nasib, kesukaran dan kesedihan yang dihadapi rakyat akibat bencana tanah runtuh dan banjir jauh lebih penting.

Itu pandangan yang dapat dilihat terbit dari pemikiran pemimpin kerajaan yang diterajui Gabungan Rakyat Sabah (GRS) kerana perasaan belas kasihan serta prihatin terhadap nasib rakyat yang melangkaui batas politik.

Namun, sebagai sebuah negara demokrasi yang meraikan kepelbagaian dan perbezaan politik, ada saja kata-kata kurang manis dan tindakan yang kurang menyenangkan atau tidak sewajarnya diungkap dan dilakukan timbul di sana sini.

Di pihak kerajaan, apa yang dapat dilihat tindakan segera membantu rakyat terus digerakkan bukan saja dari pimpinan negeri, malah di peringkat akar umbi, daerah dan bahagian DUN sejurus berita mengenai tanah runtuh dan banjir tersebar di media sosial.

Ketua Menteri sendiri bersama pimpinan negeri dan parti beliau di Penampang, khususnya di bahagian Moyog turun padang meninjau tanah runtuh yang menjejaskan Jalan Penampang – Tambunan dan banjir di beberapa kampung pada Hari Malaysia yang lalu.

Ia kemudian disusuli lawatan Perdana Menteri ke lokasi bencana dan PPS di Penampang pada Junaat bagi melihat sendiri kerosakan dan kesan bencana terhadap rakyat agar agensi yang berkaitan dapat menggerakkan segera penyaluran bantuan dan kerja pemulihan yang dikenal pasti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor melawat PPS bagi meluangkan masa dan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir dan tanah runtuh di kawasan Penampang dan Putatan.

Pada masa yang sama, tidak dinafikan pelbagai pihak lain termasuk pemimpin parti pembangkang seperti Warisan turut turun padang melihat keadaan rakyat di kawasan yang terjejas dan membantu apa yang termampu.

Perkara itu memang lumrah bagi kita di Sabah, namun apa yang agak dikesalkan apabila cara penampilan pemimpin di kawasan bencana pun dijadikan cemuhan dan bahan politik pihak yang sengaja mengambil kesempatan meskipun dalam situasi bencana.

Ada yang membandingkan kasut boot dipakai Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan kasut sukan dipakai Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ketika turun di kawasan berlumpur akibat banjir dan tanah runtuh di Penampang dan Papar.

Gambar perbandingan itu yang sengaja disebarkan di media sosial pastinya untuk menimbulkan sentimen berunsur politik yang mempunyai niat tidak baik terhadap kepimpinan kerajaan.

Perbandingan itu boleh ditafsir kononnya memberi gambaran bahawa Shafie lebih berjiwa rakyat kerana lengkap persediaan kasut boot untuk turun di kawasan berlumpur, berbanding Hajiji yang berkasut sukan yang sudah pasti tidak dapat turun ke lokasi berlumpur.

Meskipun hanya hal kecil, namun ia menunjukkan bahawa penyokong pembangkang akan menggunakan apa saja cara dan peluang yang ada, termasuk memanfaatkan situasi bencana dihadapi rakyat untuk menarik sokongan.

Isu itu tidak terhenti setakat di situ, malah pembangkang, khususnya Warisan meneruskan program politik ketika rakyat dilanda bencana dengan ceramah Shafie yang tidak berhenti menuding jari terhadap pemimpin kerajaan dan negara yang pada pandangan mereka tidak berjuang untuk rakyat negeri ini.

Maka, tidak hairanlah apabila Ketua PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud tampil menyatakan kekesalan apabila Shafie kononnya menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung bencana yang berlaku di Sabah dalam ucapan politiknya.

“Secara spesifiknya, mereka menyindir Perdana Menteri dan juga isteri Perdana Menteri, selain beberapa pimpinan Warisan yang mengatakan bahawa ‘mana ada orang pimpinan Melayu yang turun padang membantu kita’.

“Dari sudut itu sebenarnya yang kita kesali itu, bukan bantuan. Saya hargai peranan semua parti, termasuk parti Warisan. Kita pun cubalah dengan sedaya upaya kita.

“Tapi, janganlah sampai mengkritik benda-benda yang di luar fakta. Kita boleh terima, tapi dengan menyebut ‘bukan juga ini tangan si Anwar Ibrahim mengundi’.

“Dia, Datuk Seri Anwar Ibrahim ini, kalau semua tahu, kalau ke luar negara, dia seorang pemimpin yang dihormati, tokoh peringkat global, peringkat dunia. Tapi kita di Sabah, sebut Datuk Seri dengan nama si Anwar Ibrahim.

“Kita ini, pendokong, ahli Parti Keadilan, ini tokoh reformis kita, yang kita ikut. Jadi apa rasa hati kami ini bila ada pimpinan yang mempertikaikan, langsung tidak menghormatinya,” katanya ketika sidang media PKR Sabah pada Sabtu.

Jelas bahawa tingkah laku pemimpin Warisan tidak disenangi rakan parti kerajaan sedangkan Warisan sendiri adalah sebahagian pendokong Kerajaan Perpaduan yang menyatakan sokongan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ketika bencana, semua pihak sepatutnya bersolidariti demi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh, bukannya menimbulkan isu yang tidak patut ketika perhatian seharusnya ditumpukan terhadap rakyat yang berdepan kesusahan.

Artikel ini adalah pandangan penulis semata-mata dan bukannya mewakili pendirian Info X.