Search

Inkues kematian Zara: A agak letih setelah 2 hari beri keterangan – Ram

September 23, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Saksi pertama kanak-kanak dalam inkues kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir selesai memberi keterangan di Mahkamah Koroner, hari ini.

Peguam Datuk Ram Singh, berkata kanak-kanak ‘A’ itu agak letih setelah dua hari menghadiri prosiding untuk memberi keterangan mengenai apa yang diketahuinya.

Beliau berkata, kanak-kanak itu yang juga saksi kesembilan inkues selesai memberi keterangan pada jam 3.30 petang, sebelum disambung saksi ke-10 yang juga seorang kanak-kanak.

Katanya, sepanjang dua hari memberi keterangan bermula Isnin, A menerangkan apa yang beliau nampak, dengar dan alami mengenai apa yang berlaku sebelum arwah Zara ditemui tidak sedarkan diri pada 16 Julai lalu.

“Jadi apa yang kita dapat daripada A adalah apa yang dia nampak, apa yang dia dengar dan apa yang dia rasa serta alamilah.

“Beberapa hari menyoal, kemudian kami jumpa dia di bilik saksi dan dia memang rasa penat. Dari ekspresi muka nampaklah yang dia penat.

“Dan dia kelihatan terkejut atas sesuatu perbincangan di antara peguam di mahkamahlah. Kami tidak mahu kemukakan lebih daripada itu,” katanya pada sidang media di luar mahkamah selepas tamat inkues petang tadi.

Ram berkata, saksi ke-10 selepas A baru selesai ditanya pegawai pengendali pada hari ini dan akan disambung esok bagi pertanyaan pihak berkepentingan pula.

Sementara itu, rakan guamannya, Joan Goh, berkata A sudah menyampaikan ceritanya dan memberi keterangan mengenai apa yang berlaku.

“Itu sahaja secara asasnya dan seperti yang kita katakan tadi, jawapan dia sangat konsisten. Maksud saya, bayangkan, ada empat kumpulan peguam yang menyoalnya dan dia masih sangat konsisten dengan jawapannya,” katanya. – Info X