PENAMPANG: Walaupun berpanas terik dan terpaksa memunggah berpuluh kotak barangan ke lapan pacuan empat roda, semangat sukarelawan KDCA Youth Council tidak pernah luntur demi memastikan mangsa banjir dan tanah runtuh di daerah ini tidak terpinggir.
Misi kemanusiaan itu dilaksanakan bersama Kelab Komuniti Sayang Sabah dan Food Hero, dengan sokongan media tempatan KupiKupi FM serta Info X.
Kali ini, tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menjadi fokus utama iaitu PPS Dewan Gawir, Kolam Renang Penampang dan Inobong. PPS Dewan Gawir menjadi tumpuan kerana menempatkan lebih ramai mangsa yang terjejas teruk akibat bencana.
Seawal jam 10 pagi semalam, Dewan KDCA dihangatkan dengan aktiviti memunggah barang keperluan ke kenderaan.
Cuaca panas bukan halangan apabila semua pihak berganding bahu memastikan misi bantuan berjalan lancar.

Antara sumbangan diagihkan ialah 30 bakul makanan, 90 karton air mineral, 30 kotak pakaian, 56 tuala dan linen, 19 pek lampin pakai buang, susu bayi serta keperluan harian lain. Secara keseluruhan, 54 keluarga menerima manfaat daripada inisiatif ini.
Naib Pengerusi KDCA Youth Council merangkap Pengurus Bantuan Bencana KYC Penampang, Jessica Julius berkata, pihaknya tidak menyangka sambutan yang diterima begitu luar biasa selepas mesej bantuan ini disiarkan di Kupi-Kupi FM dan Info X.
“Ramai yang tampil menghulurkan sumbangan. Ada yang menyumbang pakaian, ada yang hulur wang ringgit, malah ada juga yang datang sendiri bawa barangan untuk disalurkan.

“Apa yang menyentuh hati, ada dalam kalangan penyumbang sendiri juga sebenarnya mangsa banjir, tetapi tetap mahu berkongsi rezeki dengan orang lain,” katanya.
Jessica berkata, sokongan yang diberikan membuatkan semangat sukarelawan bertambah kuat walaupun berdepan keletihan dan cabaran logistik.
“Saya lihat sendiri sukarelawan ini mengangkat kotak berat, berpeluh-peluh, tetapi mereka tidak merungut.
“Mereka tahu ada keluarga yang sedang menunggu bantuan. Itu yang buat kami terus bersemangat,” katanya.

Jessica turut menzahirkan penghargaan buat sukarelawan yang setia di barisan hadapan sejak misi pertama lagi.
“Walaupun bilangan kami tidak ramai, mereka bekerja keras tanpa mengeluh. Ada yang cuti kerja semata-mata mahu ikut agihan, ada yang tidur hanya beberapa jam kerana sibuk mengurus sumbangan. Saya bangga dengan dedikasi mereka,” katanya.
Pengerusi KDCA Youth Council, Steve Johnny Mositun, pula menegaskan setiap sumbangan amat dihargai kerana misi itu lahir daripada keikhlasan, bukan untuk mencari publisiti.

“Apa yang penting adalah hati yang ikhlas. Biarpun hanya sekampit beras, ia amat bermakna untuk keluarga yang tidak tahu apa hendak dimasak malam nanti,” katanya.
Menurut Steve lagi, KDCA Youth Council sentiasa berusaha memastikan tiada keluarga tercicir daripada menerima bantuan.
“Kami sedar dalam keadaan kelam-kabut, ada yang mungkin terlepas pandang. Sebab itu misi seterusnya kami akan turun padang lagi untuk menjejaki mereka yang belum menerima sumbangan. Selagi ada tenaga, kami akan terus bantu,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar Kupi-Kupi FM, Lester Calvin Miol berkata, pihaknya berbesar hati menjadi penghubung maklumat yang berjaya menggerakkan solidariti masyarakat.
“Kami di Kupi-Kupi FM bangga dapat menjadi jambatan maklumat. Bila mesej ini tersebar, kami nampak betapa kuatnya semangat #kitakitajugabaini. Ada yang datang ke pejabat kami terus bertanya bagaimana mahu menyumbang. Itu tanda orang Sabah masih ada rasa kasih sayang yang mendalam antara satu sama lain,” katanya.
Selain tiga PPS terbabit, agihan bantuan turut disalurkan ke Kampung Kibabaig, Kampung Tuavon, Kampung Hungab serta kepada kakitangan KDCA sendiri yang terjejas.
Antara penyumbang besar lain ialah Klagan Hotel, F&N, Grandis Hotel and Resorts, Life Water Sdn Bhd, Caring Pharmacy, Kakitangan Petronas, Gentari, University Technology Petronas, Methodist College, Persatuan I-Kuan Tao Tsung Ren Sou Penampang, BSV Tech, Unduk Ngadau dan Mr Kaamatan serta orang awam.
Misi KDCA Youth Council masih diteruskan dari semasa ke semasa dengan pihak penganjur mengalu-alukan lebih banyak sumbangan ikhlas daripada masyarakat serta pihak korporat demi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh di Sabah. – Info X