Search

SPRM beri cadangan tambah baik permohonan lesen DBKK elak pemalsuan dokumen

September 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah mengesyorkan tiga cadangan penambahbaikan tatakelola Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung isu permohonan lesen perniagaan menggunakan surat perwakilan kuasa.

Cadangan itu ialah mewujudkan satu kaedah pemeriksaan balas terhadap permohonan lesen perniagaan terutama permohonan yang menggunakan surat wakil kuasa.

Ia termasuk garis panduan mengenai penggantunggan dan pembatalan lesen perniagaan yang mempunyai aduan melalui pembentukan sebuah jawatankuasa untuk membuat keputusan dengan teratur, contohnya Jawatankuasa Penentuan Pengantungan Lesen dan Jawatankuasa Pembatalan Lesen.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk Mohd Fuad Bee Basrah berkata cadangan lain termasuk menguatkuasakan tindakan untuk pemeriksaan balas dengan pemilik lesen berhubung status terkini lesen perniagaan yang didaftarkan dan aktiviti perniagaan yang dijalankan.

Mohd Fuad Bee Basrah (dua kiri) menerima dokumen dari Robert Lipon (kanan) di Bilik Mesyuarat Mayor DBKK.

Beliau berkata, SPRM Sabah mengesyorkan cadangan itu berdasarkan siasatan awal dan aduan diterima pada tahun lalu yang mendapati berlaku pemalsuan dokumen yang digunakan untuk mendaftarkan syarikat di DBKK dan Pejabat Daerah di sekitar Sabah.

“Bagaimanapun, siasatan dijalankan mendapati wujud kelemahan di dalam permohonan ini di mana pemilik-pemilik syarikat yang dikesan mengesahkan tidak pernah memohon, memberi atau mengarahkan mana-mana individu menggunakan dokumen peribadi bagi tujuan mendaftarkan syarikat di DBKK.

“Selain itu, pemilik syarikat tidak tahu nama dan salinan kad pengenalan mereka telah digunakan untuk permohonan lesen perniagaan di DBKK,” katanya ketika Sesi Pembentangan Penambahbaikan Tatakelola oleh Cawangan Penyiasatan Tatakelola (CPT) SPRM kepada DBKK di Bilik Mesyuarat Mayor DBKK, di sini, pada Selasa.

Sementara itu, cadangan penambahbaikan berkenaan disambut baik Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBKK, Robert Lipon dan bersetuju untuk mengambil tindakan bagi mengatasi kelemahan yang ditemui.

Turut hadir Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Sabah, Alexander S Kunghi; Ketua Cawangan Penyiasatan Tatakelola SPRM Sabah, Hamsia Abdul Ham dan wakil Bahagian Integriti Dan Governans Negeri Sabah, Andrea Abidin Madingkir. – Info X