Search

Warga emas hilang di kebun ditemui meninggal dunia

October 3, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak semalam terungkai apabila dia ditemui meninggal dunia di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumahnya di Kampung Sogo Narinang, di sini, pagi ini.

Mangsa, Sani Giau, 92, dilaporkan keluar ke kebunnya sekitar jam 8 pagi Khamis namun tidak pulang sehingga jam 5 petang, menyebabkan keluarganya bimbang dan melaporkan kejadian itu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba Elge Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.40 malam.

Menurutnya, lima anggota bersama sebuah Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah pacuan empat roda (Vigo) digerakkan ke lokasi dengan bantuan polis.

“Setibanya di lokasi, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dimulakan di kawasan kebun yang sering dilalui mangsa.

“Namun, pencarian pada malam itu tidak menemui sebarang petunjuk dan operasi ditangguhkan pada jam 9.22 malam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mayat mangsa ditemui di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumah mangsa di Kota Belud.

Menurutnya, operasi SAR disambung semula pada jam 7 pagi tadi dengan tumpuan sekitar kampung dan laluan berhampiran sungai.

“Hasil pencarian bersama penduduk kampung berjaya menemui mangsa pada jam 7.43 pagi di tepi sungai, kira-kira 19 kilometer dari rumahnya,” katanya.

Elge berkata, mangsa kemudian diangkat menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.54 pagi selepas memastikan keadaan terkawal,” katanya. – Info X