Search

SAR hari ketiga dua pelancong China di Pulau Mantanani guna helikopter

October 7, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua pelancong warga China yang hilang di Pulau Mantanani sejak Ahad lalu diteruskan hari ini dengan tumpuan pencarian di darat, laut dan udara termasuk bantuan helikopter Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain, berkata operasi hari ketiga bermula pagi tadi dengan penyertaan pelbagai agensi keselamatan dan penyelamat.

Katanya, kekuatan keseluruhan operasi membabitkan 68 pegawai dan anggota daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud, Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 16, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Pasukan Polis Marin (PPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Pasukan pencarian di darat melibatkan empat pegawai, 32 anggota dan tiga penduduk kampung. Pencarian dilakukan di kawasan hutan, perkampungan serta sekitar tanjung tempat barangan peribadi milik mangsa ditemukan.

Superintendan Shahrudin Mat Husain.

“Penugasan dibahagikan kepada dua kumpulan bagi memperluas kawasan pencarian, namun operasi berdepan kesukaran berikutan hujan berterusan sejak pagi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan APMM dan PPM turut melaksanakan pencarian di laut dengan kekuatan lapan anggota, namun keadaan laut bergelora menjejaskan operasi.

Pasukan penyelamat melakukan pencarian di darat.

“Penyelam scuba daripada JBPM Zon Kudat turut melakukan pencarian dasar laut berhampiran Pulau Mantanani bersama tiga kakitangan resort tempatan, namun kedua-dua mangsa masih belum ditemui.

“Operasi turut diperhebat dengan bantuan pemantauan udara menggunakan pesawat AW139 (Udara 35) milik PGU PDRM yang dikendalikan dua pegawai dan dua anggota.

“Unit dron JBPM dan PGU turut digerakkan bagi memantau kawasan sekitar pulau, namun keadaan hujan menyukarkan penerbangan dijalankan dengan lancar,” katanya.

Pasukan penyelam melakukan pencarian di laut.

Dalam pada itu, Shahrudin berkata, setakat jam 6 petang ini, operasi SAR ditangguhkan berikutan keadaan cuaca yang tidak mengizinkan dan akan disambung semula esok pagi.

“Pencarian hari ketiga hari ini tetap memberi tumpuan menyeluruh di darat, laut dan udara bagi mengesan kedua-dua pelancong yang masih belum dijumpai,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan mangsa lelaki Yu Xiapeng, 25, dan wanita, Fan Qin, 28, dilaporkan menginap di Sutera Mantanani Resort pada 4 Oktober lalu dan sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya, namun sehingga kini masih belum dijumpai. – Info X