Search

PPM tumpas cubaan seludup kosmetik dan rokok di perairan Semporna

October 8, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah berjaya menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai barangan kosmetik dan rokok dalam dua operasi berasingan di perairan daerah ini, semalam.

Dalam operasi khas pertama kira-kira jam 12.45 tengah hari, pasukan PPM mengesan dan menahan sebuah bot mencurigakan di perairan berhampiran Simunul, dipercayai membawa masuk barangan kosmetik pelbagai jenama dari negara jiran.

Sementara itu, pada jam 7 malam hari sama, satu lagi operasi dijalankan di kawasan perairan Tanjung Manimpa yang membawa kepada rampasan rokok pelbagai jenama dipercayai untuk pasaran tempatan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, hasil kedua-dua rampasan itu, pihaknya merampas 15 kotak mengandungi kira-kira 7,000 unit barangan kosmetik serta 400 karton rokok pelbagai jenama.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM262,830.

“Semua barangan berkenaan dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 serta Akta Kastam 1967.

Sementara itu, Nazri berkata pihaknya akan terus komited membanteras kegiatan penyeludupan di perairan negeri ini dan memastikan keselamatan serta kesejahteraan negara sentiasa terpelihara.

“Kami juga mengalu-alukan kerjasama serta maklumat daripada orang awam bagi menyalurkan sebarang aktiviti mencurigakan yang menyalahi undang-undang,” katanya. – Info X