KOTA BELUD: Dua pelancong warga China yang dilaporkan hilang di Pulau Mantanani, sejak Sabtu lalu, kali terakhir dilihat melakukan aktiviti snorkeling di kawasan perairan pulau berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa, Yu Xiapeng, 25, dan Fan Qin, 28, dilihat berada di kawasan laut berhampiran resort penginapan mereka sebelum dilaporkan gagal dikesan.
“Kedua-dua pelancong terbabit dipercayai melakukan aktiviti snorkeling di sekitar perairan berkenaan sebelum dilaporkan hilang oleh pihak resort pada 5 Oktober lalu.
“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini memasuki hari kelima dengan kekuatan seramai 80 pegawai dan anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk tempatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tumpuan pencarian hari ini ditumpukan di kawasan perairan barat Pulau Mantanani termasuk Tanjung Batu, pesisir Pantai Pulau Mantanani Besar dan Kecil serta diperluas hingga ke Pulau Kelambu dan Tanjung Simpang Mengayau.

“Pasukan Gerakan Udara (PGU) turut membantu menggunakan pesawat Textron 208 (9M-PSQ) bagi melakukan pemantauan udara pada ketinggian 1,000 kaki meliputi perairan Kota Belud, Pulau Mantanani dan Kudat.
“Selain itu, pasukan penyelam JBPM melaksanakan pencarian dasar laut di kawasan tumpuan bagi mengesan sebarang petunjuk kehilangan mangsa,” katanya.
Shahrudin berkata, operasi hari kelima ditamatkan pada jam 6 petang dan akan disambung semula esok dengan fokus pencarian di kawasan laut yang dikenal pasti berisiko tinggi.
Terdahulu, media melaporkan Yu Xiapeng dan Fan Qin dilaporkan menginap di Sutera Mantanani Resort pada 4 Oktober lalu dan sepatutnya mendaftar keluar keesokan harinya, namun sehingga kini masih belum ditemui – Info X