Search

Lapan rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Mangkalinau

October 10, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Lapan buah rumah tidak kekal musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Mangkalinau, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.10 malam itu, tiada mangsa dilaporkan terlibat selepas semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri sebaik api mula marak.

Sepasukan 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan dikejarkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.18 malam.

Setibanya di lokasi, pasukan mendapati kebakaran melibatkan lapan rumah jenis tidak kekal yang terbakar sepenuhnya.

Pasukan bomba bertindak memadam api menggunakan kaedah ofensif dan defensif dengan satu aliran hos dan dua pancutan, menggunakan sumber air dari tangki jentera.

Operasi diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Hazmizan Maksit dan turut dibantu anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Sabah Electricity.

Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 8.38 malam dan operasi ditamatkan pada jam 9.20 malam selepas memastikan tiada lagi bahaya di kawasan kejadian. – Info X