PITAS: Lelaki yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti memanah ikan di perairan Kampung Pinggan-Pinggan, di sini, semalam ditemui meninggal dunia pagi tadi.
Mangsa Rozaimie Masiun, 42, ditemukan orang kampung bersama ahli keluarganya di kawasan bagang berhampiran lokasi dia dilaporkan hilang, pada jam 7.36 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, hasil maklumat awal diterima daripada penduduk kampung memaklumkan mayat mangsa dibawa ke tepi pantai menggunakan bot oleh keluarga dan penduduk setempat sebelum disahkan oleh pasukan penyelamat.
“Pasukan bomba bersama anggota polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) ke lokasi bagi membantu mengangkat mangsa menggunakan stretcher sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk dihantar ke Hospital Pitas bagi tindakan lanjut.
“Lokasi mangsa ditemui pada kedudukan 06°43.252’ Utara dan 116°54.385’ Timur, iaitu kira-kira 4.4 kilometer barat daya dari Pantai Torunggug, di sini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurutnya, operasi SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.15 pagi selepas mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan sejak semalam itu melibatkan lima anggota BBP Pitas bersama pelbagai agensi termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), APM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta penduduk kampung.
Siasatan awal mendapati, mangsa hilang selepas terjun ke laut untuk mengejar perahu mereka yang hanyut ketika melakukan aktiviti memanah ikan bersama seorang rakan di kawasan perairan berkenaan.
Rakan mangsa yang menunggu di atas bagang kemudiannya menyedari mangsa tidak muncul semula sebelum meminta bantuan penduduk kampung yang kemudiannya menemui perahu mangsa di Pantai Terunggug, namun mangsa gagal ditemui ketika itu.
Terdahulu, Bilik Kawalan BBP Pitas menerima panggilan daripada Balai Polis Pitas memaklumkan mengenai kehilangan mangsa semasa melakukan aktiviti memanah ikan di laut sebelum operasi SAR digerakkan bagi mengesan mangsa. – Info X