Search

24 jam padam kebakaran pusat pengumpulan sampah di Kota Marudu

October 12, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Walaupun berdepan keadaan sukar di kawasan berbukit dan dipenuhi timbunan sampah, pasukan bomba tetap komited memadam tompokan api di pusat pengumpulan sampah seluas 0.8 hektar di Kampung Paka, di sini.

Malah, mereka sudah bertungkus-lumus hampir 24 jam sejak operasi pemadaman dimulakan kira-kira jam 9 pagi semalam hingga selesai sepenuhnya pada jam 8 pagi hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Deblie Mamoi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.43 pagi sebelum sepasukan enam anggota bersama satu jentera FRT digerakkan ke lokasi sejauh kira-kira 20 kilometer dari balai.

Jentera jengkaut milik Majlis Daerah Kota Marudu digunakan bagi mengorek timbunan sampah dan mengawal pergerakan api.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran membabitkan kawasan pusat pengumpulan sampah seluas kira-kira 0.8 hektar sedang marak.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan hos salur bantu mula dengan bantuan dua jengkaut milik Majlis Daerah Kota Marudu bagi mengorek timbunan sampah dan mengawal pergerakan api.

“Selain itu, pasukan operasi turut melaksanakan kerja-kerja ‘fire break’ bagi mengelakkan kebakaran merebak ke kawasan berhampiran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api dapat dikawal pada jam 6.37 petang semalam selepas lebih sembilan jam usaha pemadaman dijalankan di kawasan yang dipenuhi longgokan sampah.

Anggota bomba memadam kebakaran di pusat pengumpulan sampah di Kampung Paka, Kota Marudu. – Foto/Bomba

Bagaimanapun, kerja-kerja pemadaman sepenuhnya diteruskan sehingga jam 8 pagi tadi bagi memastikan tiada lagi bara yang boleh mencetuskan semula kebakaran.

Katanya, pihak Majlis Daerah Kota Marudu akan memaklumkan kepada bomba sekiranya keadaan kembali tidak terkawal, manakala pasukan bomba kini berada dalam keadaan siap siaga.

“Tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian ini dan punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X