Search

Kecederaan murid berpunca kemalangan ketika bermain – Guru Besar

October 16, 2025

Info X Reporters

SIPITANG: Kejadian seorang murid perempuan cedera di kepala yang tular di media sosial sejak pagi tadi bukan berpunca daripada kejadian buli atau pergaduhan, sebaliknya akibat kemalangan ketika bermain sesama rakan di sekolah.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Berampah, Ag Ku Jainuddin Ag Wahab berkata, siasatan awal mendapati murid berkenaan cedera ketika bermain bersama rakan, dan bukannya dipukul seperti yang didakwa.

Menurutnya, pihak sekolah mengambil tanggungjawab penuh terhadap insiden itu dan telah bertindak segera membawa murid terbabit ke hospital untuk mendapatkan rawatan.

“Gambar yang tular di media sosial sebenarnya diambil semasa murid berkenaan dalam perjalanan ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan rasmi, hari ini.

Menurutnya, ibu bapa murid yang terlibat telah dimaklumkan mengenai kejadian itu, dan pihak sekolah turut memberikan jaminan akan terus menitikberatkan aspek keselamatan serta kebajikan semua murid.

“Kami juga akan mengambil langkah penambahbaikan bagi mengelakkan kejadian seumpama ini berulang,” katanya.

Ketua Polis Daerah Sipitang, Superintendan Awang Anak Suanda, ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan siasatan sedang dijalankan.

Terdahulu, gambar seorang murid perempuan berseragam sekolah dengan kesan darah di kepala tular di media sosial dan mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan pengguna internet.

Kejadian itu dipercayai berlaku kira-kira jam 11 pagi di sebuah sekolah rendah di daerah ini sebelum mangsa dibawa ke hospital untuk rawatan. – Info X