Search

Keputusan Mahkamah Tinggi: Ewon letak jawatan menteri jika AGC fail rayuan

October 19, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick akan mengundur diri dari Kabinet Persekutuan jika Jabatan Peguam Negara (AGC) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung kelayakan 40 peratus hasil Sabah.

Beliau menegaskan pendiriannya itu kerana mahu keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu yang mengiktiraf hak perlembagaan Sabah berkaitan pembayaran semula hasil 40 peratus seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan ditunaikan kerajaan Persekutuan.

“UPKO memberikan penghormatan dan penghargaan tinggi kepada Sabah Law Society (SLS) atas kejayaan mendapatkan penghakiman yang mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah.

“UPKO juga menegaskan supaya Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah memuktamadkan persetujuan dalam tempoh 180 hari berhubung pelaksanaan hak itu sepertimana penghakiman yang dibuat oleh mahkamah,” katanya.

Ewon yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, menyatakan perkara itu ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Konvensyen UPKO Bahagian Penampang, di sini, hari ini.

Terdahulu, konvensyen itu meluluskan resolusi supaya Ewon mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan sekiranya AGC tetap memfailkan rayuan berhubung keputusan itu.

Ewon menegaskan bahawa beliau bertanggungjawab sepenuhnya terhadap usul yang diluluskan dalam konvensyen parti pimpinannya itu.

Katanya, mesyuarat Kabinet minggu depan (Jumaat) akan menjadi medan beliau untuk menyatakan pendirian rasmi UPKO, iaitu supaya Kerajaan Persekutuan mengarahkan Pejabat Peguam Negara tidak memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Ewon berkata, Perdana Menteri, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri dan ahli-ahli Kabinet sudah maklum dengan syor beliau agar AGC tidak memfailkan rayuan melalui platform media perbincangan Kabinet, memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi dikeluarkan selepas mesyuarat Kabinet dua hari lalu.

“Selepas ini, saya akan membawa perkara itu ke mesyuarat minggu depan supaya resolusi dan pendirian parti direkodkan secara rasmi dalam mesyuarat Jemaah Menteri,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa sekiranya dalam tempoh 30 hari ini rayuan masih difailkan, beliau akan bertanggungjawab terhadap resolusi parti dengan mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan.

“Ini bukan soal politik, tetapi soal hak Sabah dan soal prinsip. Saya tidak dapat menyokong keputusan lain atau tindakan lain yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

“Dalam Perlembagaan Parti, Fasal 5 dengan jelas menyatakan komitmen untuk mempertahankan asas dan semangat penubuhan Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta menghormati Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi negara,” katanya.

Ewon turut menegaskan bahawa Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengiktiraf hak 40 peratus sebagai hak perlembagaan Sabah dan sekiranya wujud sebarang keputusan yang bercanggah dengan penghakiman itu, beliau tidak dapat meneruskan sokongan terhadap keputusan berkenaan.

“Saya bersedia untuk mengundurkan diri daripada Kabinet Persekutuan demi menghormati dan mempertahankan hak perlembagaan Sabah serta semangat penubuhan Malaysia,” katanya. – Info X