Search

Inkues kematian Zara: Saksi akui tiada barang hilang ditemui di almari arwah

October 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini diberitahu tiada barang dilaporkan hilang ditemui dalam almari Allahyarham Zara Qairina Mahathir ketika pemeriksaan pada malam 15 Julai lalu.

Perkara itu dijelaskan saksi kanak-kanak ke-18 inkues kematian arwah Zara pada prosiding hari ke-27, hari ini.

Pelajar junior sebilik dengan arwah itu mengakui turut terbabit memeriksa almari arwah selepas Zara dituduh mencuri barang milik seorang lagi rakan sebilik.

Peguam mewakili ibu arwah, Shahlan Jufri berkata, saksi berkenaan mengesahkan seorang rakan sebiliknya mengadu kehilangan dompet.

“Pengadu berjumpa saksi dan seorang lagi ahli ‘dorm’ lain untuk mengadu mengenai kehilangan barang itu. Saksi berkata rakan sebilik yang kehilangan barang itu mengesyaki Zara ‘sebab Zara rapat sama dia’.

“Menurut saksi, selepas pelajar itu mengadu mengenai kehilangan
barang, seorang rakan sebilik membawanya bersama rakan sebilik lain untuk membuat ‘spot check’ terhadap ‘locker’ Zara.

“Rakan sebilik ini ada meminta kebenaran pelajar senior sebelum mereka lakukan ‘spot check’ ke atas ‘locker’ Zara. Ada empat orang rakan sebilik Zara yang terlibat dalam membuat ‘spot check’.

“Saksi hanya terlibat membuat ‘spot check’ di ‘locker’ Zara. Namun saksi berkata mereka tidak jumpa sebarang barang yang hilang,” katanya.

Shahlan yang dibantu peguam Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James menceritakan semula keterangan saksi selepas tamat prosiding di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, hari ini.

Saksi berkenaan, katanya turut memberitahu mahkamah bahawa dia melihat rakan sebilik lain membuat pemeriksaan ke atas beg dan seluar arwah Zara, manakala beberapa rakan sebilik lain hanya melihat.

Katanya, saksi kemudian nampak seorang rakan sebilik menjumpai pin Jalur Gemilang di beg dan seluar ‘track suit’ warna hitam milik arwah Zara.

“Saksi juga memberitahu mahkamah bahawa seorang rakan sebilik menceritakan kepadanya mengenai insiden sebelum itu di mana sekeping kad ‘calling’ (kad telefon) milik seorang pelajar junior rakan sekelas Zara pernah dijumpai di tempat Zara.

“Saksi mendengar cerita insiden itu dari seorang rakan sebilik lain pada waktu petang kira-kira jam 4 petang hari sama, iaitu 15 Julai 2025.

“Saksi mengesahkan pelajar yang menjumpai dua pin lencana bendera ketika ‘spot check’ di beg dan seluar Zara serta pelajar yang memberitahunya kehilangan kad ’calling’ pelajar lain adalah pelajar yang sama,” katanya. – Info X