KOTA KINABALU: Pemimpin Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menyifatkan penyebaran gambar Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang didakwa bertemu ahli perniagaan, Datuk Albert Tei yang dikaitkan dengan skandal perlombongan mineral di Sabah sebagai satu cubaan untuk mencemarkan reputasi Ketua Menteri.
Ketua Penerangan Gagasan Rakyat, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata Ketua Menteri dalam kapasiti beliau sebagai ketua eksekutif kerajaan negeri sering berjumpa dengan pelbagai pihak berkepentingan.
Katanya, pertemuan itu membabitkan mesyuarat rasmi biasa yang turut dihadiri beberapa pegawai kanan Ketua Menteri.
Sehubungan itu, katanya individu di sebalik hantaran di media sosial yang memaparkan gambar Hajiji bersama Albert mempunyai niat jahat untuk mengaitkan Ketua Menteri dengan Albert dan skandal perlombongan mineral.
“Tambahan pula, Ketua Menteri tidak menafikan kenal atau pernah bertemu dengan Albert, tetapi jelas, pos tersebut adalah satu cubaan untuk mempolitikkan mesyuarat biasa, yang bersifat tersirat dan tidak bertanggungjawab.
“Ketua Menteri bersikap telus dan telah meminta pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh, sambil memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri memastikan akan memberi kerjasama sepenuhnya,” katanya dalam saty kenyataan pada Jumaat.
Nizam berkata, segala tuduhan perlu dibuktikan melalui proses undang-undang dan bukan melalui kempen fitnah di media sosial.
Sementara itu, beliau berkata, portal berita tempatan semalam mendedahkan seorang sumber memaklumkan bahawa Albert merancang ‘aksi’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), dipercayai berkaitan kes rasuahnya yang dijadual disebut di Mahkamah Kota Kinabalu hari ini.
Katanya, amat jelas bahawa Albert sendiri memainkan peranan utama dalam mencetuskan drama persepsi itu dan sudah merancang langkah berkenaan lebih awal.
“Dia masuk ke Sabah dengan memberitahu pihak Imigresen kononnya hanya mahu berjumpa kawan, sedangkan dia tidak menunjukkan surat panggilan mahkamah yang sepatutnya.
“Semua ini adalah sebahagian daripada muslihat dan perancangan jahat Albert untuk menimbulkan kekeliruan dan persepsi kononnya beliau dianiaya,” katanya.
Nizam berkata, Albert sengaja mencetuskan teori konspirasi kononnya wujud campur tangan politik dalam siasatan terhadap dirinya bagi meraih simpati awam.
“Ini bukan lagi tindakan individu teraniaya, tetapi satu operasi persepsi terancang untuk mengalihkan perhatian daripada kes dan siasatan terhadap dirinya sendiri,” katanya. – Info X