KOTA BELUD: Seorang wanita warga emas ditemui rentung selepas rumah didiami musnah dalam kebakaran di Kampung Bangkahak Sunsum, awal pagi tadi.
Mangsa berusia lingkungan 70-an dipercayai terperangkap di bilik tidurnya sebelum ditemui rentung oleh pasukan bomba yang menjalankan operasi pemadaman.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2 pagi sebelum sepasukan 10 anggota digerakkan ke lokasi kejadian sejauh 13 kilometer.
“Sebaik tiba, pasukan mendapati kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal yang terbakar 100 peratus.
“Pasukan bertindak memadam api menggunakan kaedah ofensif dengan satu aliran hos dan dua pancutan menggunakan sumber air dari tangki jentera,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sebaik api berjaya dikawal pada jam 2.50 pagi, pasukan bomba menemui seorang mangsa perempuan warga emas berusia lingkungan 70-an yang rentung di bilik tidur rumah berkenaan.
“Operasi pemadaman dan pemeriksaan susulan diteruskan sebelum ditamatkan sepenuhnya pada jam 5.30 pagi.
“Siasatan punca kejadian serta anggaran kerugian masih dijalankan,” katanya. – Info X