KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) dijangka dicabar bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan bekas Ahli Parlimen dalam saingan merebut kerusi DUN Karambunai pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRN17) pada 29 November depan.
Penyandangnya, Datuk Yakub Khan yang dijangka dinamakan semula UMNO Sabah bagi mewakili BN hampir pasti dicabar bekas ADUN Dilantik, Datuk Dr Aliakbar Gulasan yang bakal bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Aliakbar yang juga Pesuruhjaya PAS Sabah dilihat bergerak aktif mendekati masyarakat di sekitar DUN Karambunai, termasuk melaksanakan pelbagai program atas kapasitinya sebagai ADUN Dilantik sejak memegang jawatan itu dari 2020 hingga pembubaran DUN pada 6 Oktober lalu.
Beliau adalah pemimpin PAS pertama di Sabah menjadi wakil dalam DUN Sabah setelah dilantik oleh kerajaan negeri ketika PN masih bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebelum ini.
Sementara itu, difahamkan bekas Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman selaku Ketua Bahagian Warisan Sepanggar mungkin dinamakan Warisan sebagai calon bagi merampas semula kerusi DUN Karambunai yang terlepas ke tangan BN pada PRN16, September 2020.
Jika bukan Azis, bekas calon Warisan pada PRN16, Ahmad Jais Otong yang tewas tipis di tangan Yakub dengan perbezaan hanya 16 undi, juga difahamkan dalam senarai Warisan untuk dicalonkan semula di kerusi itu.
Pada PRN16, Yakub mendapat 5,180 undi menewaskan Ahmad Jais yang memperolehi 5,164 undi selaku pencabar terdekat dalam pertandingan enam penjuru.
Selain itu, terdapat juga cakap-cakap politik mengatakan kemungkinan Warisan memindahkan semula bekas ADUN Karambunai, Azhar Matussin ke kerusi itu dari DUN Darau yang disandangnya sekarang.
Azhar mendapat majoriti yang besar dengan lebih 5,000 undi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada 2018 menewaskan calon BN pada masa itu, Datuk Jainab Ahmad yang menyandang kerusi berkenaan sejak 2004.
Mungkin atas perkiraan itu, Azhar dijangka dicalonkan semula oleh Warisan bagi merampas kembali kerusi berkenaan pada PRN17, namun setakat ini belum ada pengesahan mengenai perkara itu.
Selain itu, GRS juga sudah pasti bakal meletak calon bagi mencabar BN yang dijangka disandarkan kepada Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat (Gagasan Rakyat) Karambunai, Datuk Arshad Idris.
Turut disebut-sebut berminat meletakkan calon di kerusi berkenaan ialah Parti Impian Sabah (PIS) yang dijangka mempertaruhkan pemimpin bahagiannya, Adis Jalie.
Parti lain, termasuk STAR yang keluar dari GRS sebelum pembubaran DUN awal bulan ini juga dijangka meletak calon, selain beberapa lagi calon lain, termasuk kemungkinan calon bebas.
DUN Karambunai mempunyai 39,292 pengundi berdaftar dengan Bumiputera Islam sebagai kumpulan terbesar membentuk lebih 50 peratus populasi diikuti Bumiputera Bukan Islam, Cina dan lain-lain. – Info X