PENAMPANG: Pasukan bomba terpaksa berjalan kaki sejauh dua kilometer meredah kawasan berbukit untuk menyelamatkan seorang lelaki warga emas yang cedera ketika memotong rumput di Kampung Notoruss, di sini, petang tadi.
Mangsa berusia 83 tahun dilaporkan mengalami kecederaan di kaki kiri selepas terkena mata pemotong rumput ketika melakukan kerja memotong rumput di kawasan rumahnya yang terletak di atas bukit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Zeno Tingalan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.42 petang sebelum enam anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sejauh 14 kilometer.
“Sebaik tiba di kawasan berhampiran, pasukan bomba mendapati laluan ke lokasi mangsa hanya boleh diakses dengan berjalan kaki.
“Anggota kemudian berjalan sejauh dua kilometer mendaki kawasan berbukit untuk memberi bantuan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum membawanya turun menggunakan pengusung ke jalan besar.
“Mangsa kemudian diserahkan kepada ambulans Persatuan Bulan Sabit Merah untuk dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Benny Lim itu tamat sepenuhnya pada jam 5.46 petang selepas memastikan kawasan berkenaan selamat. – Info X