Search

PRN17: Pengundi berdaftar selepas Ogos tidak layak mengundi pada 29 November – SPR

October 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat Sabah yang disahkan sebagai pengundi berdaftar selepas Ogos lalu tidak layak mengundi pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17) yang dijadualkan pada 29 November depan.

Ketua Program Latihan (Akademi Pilihan Raya) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Nik Aminudin Nik Shahar Shah, berkata perkara itu berdasarkan Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan SPR bagi pilihan raya berkenaan.

Katanya, DPPR yang digunakan bagi pilihan raya itu nanti ialah sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025.

“Ia bermakna hanya pemilih yang berdaftar sehingga Ogos lalu layak untuk mengundi. Bagi mereka yang mencapai umur 18 tahun dan didaftarkan sebagai pemilih selepas itu tidak layak untuk mengundi.

“Ini kerana nama mereka tidak tersenarai dalam DPPR yang digunakan oleh SPR bagi PRU DU Sabah Ke-17. Perkara ini perlu dijelaskan bagi mengelak kekeliruan,” katanya pada taklimat media berhubung proses PRU DU Sabah Ke-17 di Auditorium Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, pada Selasa.

Katanya, Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemas kini sehingga 5 Oktober 2025 digunakan sebagai DPPR bagi PRU DU Sabah Ke-17 dengan mengambil kira tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 6 Oktober lalu yang diumumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.

Nik Aminudin berkata, jika ada pemilih berdaftar sehingga Ogos lalu yang meninggal dunia, nama mereka juga kekal dalam senarai DPPR itu kerana nama pemilih yang meninggal dunia hanya dibersihkan selepas daftar sedia ada dikemas kini.

“Penjelasan ini penting bagi mengelak sebarang isu yang berkaitan seperti nama tiada dalam senarai walaupun umur sudah mencapai 18 tahun.

“Oleh itu, mereka yang mencapai umur 18 tahun pada September dan Oktober tidak layak mengundi pada PRU DU Sabah Ke-17 kerana nama mereka tiada dalam senarai DPPR yang digunakan SPR,” katanya.

Berdasarkan senarai pemilih dalam DPPR yang digunakan SPR, terdapat seramai 1,784,843 orang pemilih keseluruhan pada pilihan raya Sabah kali ini.

Jumlah itu terdiri daripada 1,760,417 orang pengundi biasa, 11,697 orang tentera serta pasangan dan 12,729 orang polis serta pasangan dari Pasukan Gerakan Am (PGA).

SPR mula menjual DPPR untuk PRU DU Sabah Ke-17 sebagai rujukan pihak berkepentingan mulai 1 November depan.

Sementara itu, jumlah pemilih pada pilihan raya kali ini menunjukkan peningkatan lebih 100,000 pengundi berbanding 1,667,885 pemilih pada PRU DU Sabah Ke-16 pada 2020.

Berdasarkan senarai pengundi SPR mengikut kawasan, kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kapayan mencatat jumlah pemilih berdaftar tertinggi yang layak mengundi pada pilihan raya kali ini iaitu 49,597 orang.

Ia disusuli DUN Inanam seramai 45,525 pemilih, Karambunai (39,247), Elopura (39,004), Sungai Sibuga (38,678), Sri Tanjong (37,327), Bugaya (36,569) dan Luyang (35,262).

Kerusi DUN Banggi pula mencatat paling sedikit pengundi dengan hanya 9,484 pemilih dan satu-satunya kawasan yang merekodkan jumlah pengundi di bawah 10,000 orang. – Info X