KIULU: Daerah Kecil Kiulu bakal memiliki Bangunan Urusetia Kecil sebagai pusat pentadbirannya apabila kerja pembinaan bangunan siap pada pertengahan 2027.
Ketika ini, kerja penyediaan tapak sedang dimulakan sebelum disusuli pembinaan bangunan yang mengambil masa kira-kira setahun setengah.
Penyandang kerusi DUN Kiulu, Datuk Joniston Bangkuai, berkata pembinaan bangunan itu sudah lama dinantikan penduduk Kiulu sejak kawasan itu dinaik taraf sebagai daerah kecil pada 2019.
Katanya, ia adalah antara pembangunan penting bagi memperkukuh urusan pentadbiran dan perkhidmatan kerajaan di Kiulu.
“Bangunan ini akan terus menjadi mercu tanda usaha merancakkan rancangan pembangunan di Kiulu, selain membolehkan pengurusan daerah kecil dilaksanakan dengan lebih tersusun serta mempercepat pelaksanaan pembangunan lain di kawasan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau tapak pembinaan bangunan dan menerima taklimat daripada pihak kontraktor berhubung pelaksanaan fasa awal, di sini, pada Isnin.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kecil Kiulu, Leprus Esuva Giswa dan Jurutera Daerah Jabatan Kerja Raya (JKR) Tuaran, Farini Awang, bagi meninjau status kerja tanah serta penyediaan infrastruktur asas.
Sejak dinaikkan taraf sebagai Daerah Kecil pada awal 2019, ruang di belakang Dewan Masyarakat OKK Rampas digunakan sebagai pejabat sementara.
Joniston berkata, pembinaan bangunan urusetia menjadi sebahagian daripada perancangan menyeluruh bagi memperkasa pekan Kiulu dan kawasan sekitarnya, termasuk pembangunan infrastruktur, kemudahan awam dan sokongan kepada ekonomi tempatan.
Dalam pada itu, Joniston turut mengadakan pertemuan bersama pemimpin akar umbi pada Selasa bagi membincangkan persiapan menghadapi pilihan raya dan menilai kemajuan pelbagai inisiatif pembangunan yang sedang dijalankan di kawasan ini.
Perbincangan turut menekankan keperluan kesinambungan dalam pelaksanaan rancangan pembangunan sedia ada bagi memastikan manfaatnya dapat dirasai secara berterusan oleh penduduk Kiulu.
“Bagi kita, kesinambungan amat penting dan segala perancangan yang menbawa manfaat tidak boleh terhenti separuh jalan.
“Apa yang sudah dirancang dan sedang dilaksanakan perlu diteruskan supaya Kiulu terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah kawasan luar bandar yang maju, tersusun, dan berdaya saing,” katanya. – Info X