Search

PRU Sabah: 24 parti tempatan, 14 parti nasional bertapak di Sabah

October 30, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sebanyak 24 parti tempatan, termasuk sebuah gabungan politik bertapak di Sabah daripada 71 parti dan gabungan politik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di seluruh negara setakat 3 Oktober lalu.

Jumlah itu tidak termasuk parti dan gabungan politik nasional yang bertapak di Sabah seperti Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan (PH) serta parti komponen masing-masing.

Jika termasuk 11 parti dan tiga gabungan politik nasional, terdapat sekurang-kurangnya 38 parti, termasuk empat gabungan politik yang bertapak di Sabah ketika ini.

Selain itu, ada juga beberapa parti yang diasaskan di Sarawak turut membuka cawangan di negeri ini, menjadikan Sabah sebagai ‘lubuk’ parti politik.

Jumlah itu meletakkan Sabah sebagai negeri paling banyak parti politik, menjadikan persaingan setiap kali pilihan raya di negeri ini menyaksikan pertembungan banyak penjuru.

Berdasarkan taklimat media oleh SPR baru-baru ini, kehadiran banyak parti politik khususnya di Sabah sejajar dengan amalan sistem pelbagai parti yang dilaksanakan di Malaysia.

Selain parti, kehadiran calon bebas juga sering menghangatkan suasana pilihan raya, terutama di Sabah yang tidak pernah tiada calon bebas bertanding.

Setakat ini SPR menetapkan sebanyak 28 simbol sebagai lambang yang boleh dipilih calon bebas yang bertanding pada mana-mana pilihan raya.

Antaranya buku, kunci, meja, baju, jam, pokok, traktor, cangkul, cermin mata, udang, arnab dan gajah.

Seramai 1,784,843 pemilih dalam Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) sehingga Daftar Pemilih Tambahan Bulan Ogos Tahun 2025 yang dikemaskini sehingga 5 Oktober 2025 layak mengundi pada PRU Sabah Ke-17 yang dijadualkan pada 29 November depan. – Info X