KOTA KINABALU: Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kiulu dijangka menyaksikan pertembungan menarik di antara calon muka baharu dengan penyandangnya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU Sabah).
Khabar angin yang bertiup dari kawasan pelancongan berasaskan komuniti itu membawa beberapa nama anak tempatan Kiulu berpotensi ‘menggoncang’ kedudukan Datuk Joniston Bangkuai yang memenangi kerusi itu sejak 2013.
Lebih menarik, pencabar Joniston dikhabarkan turut terdiri daripada anak muda dengan latar belakang yang bukan calang-calang termasuk seorang bekas penyampai berita RTM dan bekas pemain bola sepak Sabah.
Selaku penyandang, Joniston yang juga seorang bekas wartawan sudah tentu memiliki kelebihan untuk mempertahankan Kiulu, namun pencabarnya sudah pasti siap sedia dengan strategi dan teknik mengikut latar belakang kepakaran masing-masing.
Bekas penyampai berita Bahasa Dusun yang sering bersiaran di RTM beberapa tahun lalu, Salbinous Saribun dikhabarkan bakal dicalonkan Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) jika parti itu memutuskan untuk bertanding di Kiulu.
Salbinous atau lebih mesra dengan panggilan Leo berkelulusan Sarjana dalam Pentadbiran dikatakan menjadi pilihan UPKO berdasarkan pengalamannya selaku Pengarah Strategik UPKO Tuaran, selain pernah menjadi Timbalan Ketua Pemuda UPKO Tuaran.
Anak jati Kiulu dari Kampung Mantob itu juga pernah menjadi Setiausaha Akhbar kepada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, Datuk Seri Madius Tangau pada tahun 2020 yang kini Ahli Parlimen Tuaran.
Bakat kepemimpinan Pegawai Khas Komunikasi dan Perhubungan Ahli Parlimen Tuaran di Dewan Rakyat itu terserlah sejak di bangku sekolah apabila pernah dilantik sebagai Timbalan Ketua Pelajar dan Ketua Pengawas Asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fuad Stephens, Kiulu.
Sementara itu, Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) awal-awal lagi menamakan bekas pemain bola sepak Sabah, Henry Soimpon sebagai calon parti itu di kerusi DUN Kiulu.
Sejajar latar belakangnya sebagai pemain bola sepak bertaraf profesional, Henry sudah pasti bukan saja membawa perjuangan politik PKDM di Kiulu, malah menarik minat anak muda untuk berkecimpung dalam sukan.
Selain UPKO dan PKDM, kerusi DUN Kiulu yang dipertahankan Parti Bersatu Sabah (PBS) sejak 1985 itu dikhabarkan turut diintai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) yang sebelum ini satu pasukan dengan PBS dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
STAR terkeluar dari GRS sejak awal Oktober lalu apabila Presidennya, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan mahu bertanding menggunakan logo sendiri pada PRU Sabah Ke-17 yang dijadualkan diadakan pada 29 November depan.
Berikutan itu, STAR turut dijangka bertanding di Kiulu dengan kemungkinan besar Ketua Bahagiannya, Terence Sinti, dicalonkan sekali lagi di kerusi majoriti pengundi Kadazadusun itu.
Terence pernah bertanding di kerusi itu atas tiket STAR pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 dan 2013, namun tewas di tangan Joniston.
Bagaimanapun, satu lagi nama anak muda turut disebut-sebut mungkin dipertaruhkan STAR di Kiulu, iaitu EXCO Wiranita STAR, Karen Cassandra Ambrose, menunjukkan kemungkinan ada ‘perebutan’ calon dalam parti itu di Kiulu.
Bakal calon wanita itu dikatakan berkelulusan Diploma Komunikasi Massa dan Pengajian Media dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dari Universiti Utara Malaysia (UUM).
Pada tahun lalu, STAR dan PBS memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) kerjasama politik yang antara lain mengelak pertembungan, namun persefahaman itu ‘lenyap’ selepas Jeffrey mengumumkan kerjasama STAR dan Parti Maju Sabah (SAPP) yang akan bertanding di semua 73 kerusi.
Sementara itu, difahamkan Ketua Penyelaras Parti Warisan Kiulu, yang juga seorang bekas pengetua, Saibin Gunsari bakal dipertaruhkan parti itu di kerusi DUN Kiulu, manakala sekurang-kurangnya seorang calon bebas dijangka turut mencabar Joniston.
Pada PRU Sabah Ke-16, September 2020, Joniston mempertahankan kerusi DUN Kiulu dengan majoriti 1,221 undi setelah mendapat 4,007 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Datuk Seri Madius Tangau yang mendapat 2,786 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Joniston yang dilihat banyak menumpukan usaha membangunkan pelancongan berasaskan komuniti di Kiulu sudah hampir pasti dicalonkan semula mewakili GRS di kerusi tradisi PBS itu.
PRU Sabah Ke-17 pada 29 November depan menyaksikan seramai 17,191 pemilih bakal membuat pilihan calon yang diyakini mampu membawa kemajuan dan pembaharuan di Kiulu untuk tempoh lima tahun akan datang. – Info X