TAWAU: Seorang remaja lelaki ditahan polis selepas mengamuk dan memukul ahli keluarganya dalam kejadian di Kampung Titingan, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, suspek berusia 19 tahun dipercayai tiba-tiba naik angin sebelum menumbuk dinding rumah hingga berlubang dan kemudian bertindak memukul ibu serta adik-beradiknya.
Tindakan agresif remaja itu menyebabkan ibunya tampil membuat laporan polis kerana bimbang keselamatan diri dan ahli keluarga lain.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil maklumat diterima, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Tawau digerakkan ke lokasi kejadian.
“Polis berjaya mengesan dan menahan suspek di kawasan Kampung Titingan tidak lama kemudian bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek kemudian dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994 kerana menyebabkan kecederaan terhadap ahli keluarga, serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. – Info X