RANAU: Dua lelaki ditemui lemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang mereka naiki dihanyutkan arus deras ketika cuba menyeberangi Sungai Moroli, Kampung Narawang, di sini, pagi tadi.
Mangsa berusia 69 tahun yang juga pemandu kenderaan bersama rakannya berusia 61 tahun dilaporkan hilang selepas kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang mereka naiki gagal melepasi arus deras sungai berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada orang awam pada jam 10.22 pagi.
Katanya, sepasukan anggota kemudian digerakkan ke lokasi kejadian sejauh kira-kira 20 kilometer dari balai menggunakan jentera bomba.
“Menurut pengadu, kedua-dua mangsa menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger dan cuba menyeberangi Sungai Moroli, namun arus deras menyebabkan kenderaan itu gagal menyeberang lalu hanyut.
“Sebaik tiba di lokasi, pasukan dimaklumkan oleh orang awam bahawa kenderaan mangsa ditemui kira-kira 200 meter dari tempat ia hanyut, namun kedua-dua mangsa tiada di dalamnya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kemudian dilancarkan dengan bantuan 25 penduduk kampung serta dua anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Ranau.
“Mangsa pertama ditemui lemas pada jam 11.18 pagi kira-kira 10 kilometer dari lokasi kenderaan hanyut.
“Tidak lama selepas itu, mangsa kedua pula ditemui pada jam 11.48 pagi kira-kira satu kilometer dari tempat mangsa pertama ditemui,” katanya.
Tambahnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 1.23 tengah hari. – Info X