Search

PPM, Jabatan Perhutanan tumpaskan cubaan curi kulit kayu tangar

November 1, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan mencuri hasil hutan jenis kulit kayu tangar di kawasan hutan bakau sekitar Sungai Terusan Duyung di sini, berjaya digagalkan Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, semalam.

Dalam operasi dijalankan sekitar jam 2.30 petang itu, pasukan operasi terbabit menemui 20 ikatan kulit kayu tangar yang telah siap diikat dan dipercayai dicuri daripada kira-kira 180 batang pokok.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata, kegiatan itu berjaya dikesan hasil rondaan dan risikan di kawasan hutan bakau yang sering menjadi tumpuan penceroboh.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi menemui ikatan kulit kayu tangar yang dipercayai telah siap untuk dijual dan dianggarkan bernilai sekitar RM70,000.

“Tiada tangkapan dilakukan setakat ini, namun siasatan sedang dijalankan bagi mengesan dalang kegiatan berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota PPM dan Jabatan Perhutanan menggagalkan cubaan mencuri kulit kayu tangar di kawasan hutan bakau sekitar Sungai Terusan Duyung, Sandakan.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Enakmen Perhutanan 1968, dan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan mencuri hasil hutan negara.

Katanya, PPM Wilayah 4 Sabah akan terus komited membanteras penyeludupan serta penyelewengan hasil hutan, khususnya di kawasan perairan dan lokasi strategik di negeri ini.

“PPM sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada orang awam bagi membantu pihak berkuasa mengesan dan menumpaskan aktiviti yang melanggar undang-undang,” katanya.

Tambah beliau, tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang dikesan terlibat dalam aktiviti penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara. – Info X