Search

APMM gagalkan cubaan bot tanpa nombor bawa 10 PATI

November 2, 2025

Info X Reporters

KUDAT: Cubaan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran yang membawa 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke negeri ini menggunakan laluan tikus gagal apabila mereka ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), semalam.

Kejadian kira-kira lapan batu nautika barat laut Tanjung Simpang Mengayau itu, bot berkenaan dikesan melalui Sistem Pengawasan Laut Sabah (SWASLA) sebelum aset APMM Zon Kudat digerakkan ke lokasi bagi melakukan pemeriksaan.

Pengarah Zon Maritim Kudat, Komander Maritim Hasbullah Omar berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan tidak mempunyai nombor pendaftaran, manakala semua penumpangnya gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Semua mereka disyaki cuba menyelinap masuk ke perairan negara menggunakan laluan tidak sah.

“Tindakan pantas anggota operasi berjaya menggagalkan cubaan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Bot bawa 10 PATI berjaya ditahan APMM di perairan Kudat.

Menurutnya, semua PATI terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Pasport 1966.

Beliau berkata, APMM akan terus mempertingkatkan rondaan serta penguatkuasaan di perairan negara bagi membanteras aktiviti penyeludupan dan kemasukan PATI, khususnya di kawasan sempadan maritim Sabah.

Hasbullah turut mengingatkan orang awam supaya tidak bersekongkol atau melindungi mana-mana pihak yang terbabit dalam jenayah maritim.

Beliau turut menyeru orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan atau kemasukan PATI kepada Pusat Operasi Zon Maritim Kudat di talian 088-611858 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera. – Info X