PUTATAN: Bekas Ahli Parlimen Putatan, Awang Husaini Sahari bakal dicalonkan PKR di Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas bagi mewaikili Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.
Nama Ketua Cabang PKR Putatan itu diumumkan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud pada Jelajah Harapan Urang Sabah Petagas, di sini, pada Isnin.
Katanya, kerusi itu ditandingi PKR selepas rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) setelah mengambil kira sokongan pengundi terhadap PKR dan Awang Husaini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), November 2022.
Beliau berkata, Awang Husaini hanya tewas 124 undi dengan sokongan kuat di kawasan Petagas pada masa itu.
Pada PRU Sabah Ke-16 pada 2020, kerusi DUN Petagas dimenangi Parti Warisan sebelum wakil rakyatnya yang juga abang Awang Husaini, Datuk Awang Ahmad Sah Sahari keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
“Petagas ini unik, ia bukan kerusi penyandang Gagasan Rakyat, ini dulu dimenangi oleh Warisan, jadi kerusi yang bukan penyandang ini terbuka kepada rundingan.
“Mana-mana kerusi yang dimenangi oleh parti itu pada 2020, yang itu kita kena hormati tetapi mana-mana kerusi yang berubah selepas itu boleh dirundingkan dan inilah antaranya Petagas ini,” kata Mustapha.
Berikutan perkembangan itu, Awang Husaini berkemungkinan bertembung dengan abangnya, Awang Ahmad Sah yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket GRS.
Awang Ahmad Sah memenangi kerusi DUN Petagas atas tiket Warisan dengan majoriti 261 undi setelah mendapat 4125 undi menewaskan pencabar terdekatnya, Datuk Arsit Sedi dari Perikatan Nasional (PN) dalam pertandingan enam penjuru.
Status kerusi itu kemudian bertukar kepada GRS selepas Ahmad Sah keluar Warisan dan menyertai Gagasan Rakyat pada Februari 2023.
Bagaimanapun, jika bertanding, Awang Ahmad Sah mungkin sebagai calon bebas berikutan kerjasama GRS-PH yang memberi laluan kepada PKR, namun beliau sebelum ini pernah menyatakan tidak akan bertanding bebas.
Ada kemungkinan juga Ahmad Sah berpindah ke DUN Tanjung Aru sejajar kedudukannya sebagai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tanjung Aru jika parti itu diberi laluan mewakili GRS di kerusi berkenaan.
Selain Ahmad Sah, kerusi Petagas turut diintai Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Petagas, Mohd Isquzawan Israq Arsit.
Warisan juga sudah tentu akan meletak calon di Petagas, dengan antara nama yang dijangka dicalonkan ialah Juriah Uda.
Kerusi DUN Petagas mempunyai seramai 20,116 pengundi dengan majoritinya Bumiputera Islam. – Info X