Search

PRU Sabah: UPKO kekal guna logo sendiri, sedia disingkir dari PH

November 7, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) perlu kekal dengan keputusan untuk menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Menegaskan pendirian itu, Ketua Pemuda UPKO Penampang Billy Joe Dominic, berkata langkah itu selaras dengan perjuangan UPKO yang meletakkan Sabah sebagai keutamaan atau Sabah First.

Berikutan itu, katanya parti itu bersedia disingkir dari Pakatan Harapan (PH), terutama dengan pendirian Presidennya, Datuk Ewon Benedick yang akan meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan jika Jabatan Peguam Negara (AGC) merayu keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah.

“Perlembagaan UPKO menyatakan antara matlamat parti adalah memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Matlamat parti ini berdasarkan kepada semangat perjuangan Sabah First yang ditonjolkan Datuk Ewon sepanjang beliau berada dalam Kabinet Persekutuan dan memimpin Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

“Datuk Ewon menyatakan prinsipnya tidak dapat memberi sokongan kepada keputusan Kerajaan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu berhubung hak 40 peratus Sabah ke atas hasil persekutuan yang dikutip di negeri ini.

“Jadi, penggunaan logo UPKO oleh calon-calon UPKO sangat wajar dan menyerlahkan semangat perjuangan Sabah First yang menjadi asas penubuhan parti.

“Saya percaya UPKO sudah bersedia untuk disingkir daripada PH kerana pendirian parti ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Billy turut menyatakan keputusan mesyuarat agung PH Sabah yang memilih Ewon sebagai pengerusi tidak pernah diselesaikan oleh Pengerusi dan Majlis Presiden PH berikutan bantahan PKR Sabah.

“Malah PKR Sabah telah memperkecilkan Datuk Ewon dan UPKO. Menjelang PRU Sabah, barulah mereka mahu mengiktiraf Ewon sebagai pengerusi. Malah perundingan kerusi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hanya melibatkan pemimpin tertinggi PKR Sabah.

“Saya percaya sudah tiba masanya UPKO berdiri di kaki sendiri dan mendengar denyutan nadi rakyat Sabah.

“Pemuda UPKO Penampang mendesak parti untuk kekal menggunakan logo dan bendera parti sendiri dalam PRU Sabah ini dan bersedia disingkir daripada PH Sabah,” katanya. – Info X