KOTA KINABALU: Selepas berteka-teki mengenai hala tuju selepas meninggalkan DAP, bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon, mengesahkan bakal menyertai Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) sebagai landasan baharu politiknya.
Beliau dilaporkan membuat pengesahan itu selepas dihubungi sebuah portal berita yang bertanya mengenai spekulasi mengatakan beliau bakal menyertai parti itu.
Penyandang kerusi DUN Tanjung Papat itu yang berhasrat mempertahankan kerusinya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 mengiyakan pertanyaan itu.

Ia berikutan undangan yang diedarkan kepada media menyatakan acara ‘penyerahan borang keahlian’ pada majlis pelancaran jentera pilihan raya KDM di Sandakan.
Acara yang dijadual diadakan di Dewan Serbaguna SMJK Tiong Hua, Sandakan itu akan dihadiri pemangku Presiden KDM, Priscella Peter, dan timbalannya, Datuk Wetrom Bahanda.
Frankie yang juga bekas Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah turut menyatakan bekas setiausaha DAP Sabah, Liau Fui Fui, juga akan menyertai KDM.
Fui Fui dijangka bertanding di kerusi DUN Elopura.

Kedua-dua mereka meninggalkan DAP selepas merasakan dipinggirkan kepemimpinan DAP Sabah.
Sementara itu, Setiausaha Agung KDM, Willie Jude ketika dihubungi hanya berkata ‘tunggu esok’ ketika ditanya kesahihan kenyataan Frankie.
Hari ini DAP mengumumkan calon parti itu yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) pada PRU Sabah Ke-17.
Ahli Parlimen Sandakan, Vivian Wong Shir Yee diumum sebagai calon di kerusi DUN Elopura, manakala seorang muka baharu yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP Sabah, Tang Szu Ching di kerusi DUN Tanjung Papat. – Info X