KOTA KINABALU: Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedick mengotakan pendiriannya meletak jawatan dalam Kabinet Persekutuan kerana tidak bersetuju dengan pandangan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung 40 peratus hasil dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.
Menerusi satu kenyataan, Ahli Parlimen Penampang itu berkata beliau tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC yang dinyatakan selepas Mahkamah Tinggi mengeluarkan penghakiman bertulis berhubung keputusan itu pada Jumaat.
“Saya telah meneliti penghakiman bertulis Hakim Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu, Celestina Stuel Galid ke atas Semakan Kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society (SLS).
”Pendirian dan pandangan yang dinyatakan AGC sepertimana dinyatakan dalam penghakiman bertulis antaranya mengabaikan sejarah pembentukan Malaysia yang mencakupi syarat persetujuan Sabah menyertai penubuhan Persekutuan Malaysia sepertimana dinyatakan dalam dokumen asas perlembagaan.
“Saya tidak dapat bersetuju dengan pendirian dan pandangan AGC tersebut. AGC adalah penasihat perundangan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan Malaysia.
“Sangat janggal untuk saya meneruskan keanggotaan dalam Kabinet Persekutuan dengan pendirian AGC tersebut yang saya percaya akan kekal menjadi pendirian mereka.
“Pendekatan mereka melihat hak 40 peratus Sabah selama tiga tahun saya berada di Kabinet Persekutuan sangat bertentangan dengan pendirian saya sebagai Presiden UPKO,” katanya.
Berikutan keputusan itu, Ewon kini bukan lagi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi dan berkemungkinan parti pimpinannya juga keluar dari menjadi gabungan Pakatan Harapan (PH).
Penyandang kerusi DUN Kadamaian itu, menjelaskan bahawa beliau juga pernah memfailkan Saman Pemula (OS) terhadap Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada Jun 2022 berkaitan hak 40 peratus Sabah dan hanya bersetuju menarik semula pada September 2023.
Jelasnya, sebagai Presiden UPKO, beliau ingin melihat hak Sabah itu dilaksanakan kerana ia adalah prinsip dan sebabnya menyertai politik.
“Saya kekal dengan pendirian agar AGC seharusnya tidak memfailkan rayuan, sebaliknya memulakan perundingan dengan Kerajaan Sabah untuk melaksanakan hak 40 peratus tersebut.
“Saya telah mengatakan tidak dapat menyokong sebarang keputusan yang bercanggah dengan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober lalu dan bersedia meletakkan jawatan daripada Kabinet Persekutuan.
“Saya percaya AGC akan memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kabinet Kerajaan Persekutuan. Namun berdasarkan kepada pandangan dan pendirian AGC yang dibuat di mahkamah sepertimana dalam penghakiman bertulis tersebut, saya tidak melihat akan ada nasihat baharu.
“Atas sebab itu, saya berpegang kepada prinsip saya, sepertimana dalam Perlembagaan Parti UPKO untuk terus memperjuangkan pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan ini, saya akan mengutus surat kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memaklumkan peletakan jawatan saya sebagai anggota Kabinet Persekutuan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri di atas ruang kebersamaan dalam Kabinet Persekutuan yang mana telah menjadi ruang untuk saya memperjuangkan prinsip berkaitan dengan hak-hak Sabah,” katanya.
Terdahulu, Ewon menjelaskan bahawa perlembagaan UPKO menggariskan matlamat penubuhan parti itu yang memperjuangkan pelaksanaan MA63 dan hak-hak Sabah dalam Perlembagaan Persekutuan.
Tegasnya, perjuangan UPKO juga berdasarkan kepada dokumen asas perlembagaan iaitu Laporan Suruhanjaya Cobbold, Laporan IGC, MA63 dan Akta Malaysia.
“Penghormatan kepada sejarah pembentukan Persekutuan Malaysia yang diterjemah melalui dokumen-dokumen asas perlembagaan ini seharusnya menjadi asas kepada halatuju dan masa depan Persekutuan Malaysia.
“Ini termasuk penghormatan, pengiktirafan dan pelaksanaan hak 40 peratus Sabah sepertimana dalam Perkara 112C dan Subseksyen 2(1) Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Berikutan perkembangan itu, Ewon berkata beliau akan memanggil Mesyuarat Khas Majlis Tertinggi UPKO pada Isnin ini untuk membincangkan agenda Sabah First yang menjadi asas halatuju parti itu. – Info X