SANDAKAN: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) mengumumkan akan meletakkan bekas Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung sebagai calon di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Papat.
Ia diumumkan oleh Timbalan Presiden KDM, Datuk Wetrom Bahanda ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Parti KDM Zon Pantai Timur di Dewan Tiong Hua, di sini, hari ini.
Seorang lagi iaitu bekas Setiausaha Organisasi DAP Sabah, Liau Fui Fui dijangka akan diletakkan sebagai calon di kerusi DUN Elopura pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketika ditemui, Ming Fung berkata, banyak parti yang menawarkan beliau untuk menyertai mereka selepas keluar daripada DAP, namun beliau memilih KDM kerana ia adalah parti tempatan.
Katanya, beliau yakin mampu mempertahankan kerusi yang dimenanginya sejak PRN14 itu biarpun beralih parti kerana percaya rakyat melihat kerja kerasnya di kawasan itu.
“KDM mempunyai manifesto yang bagus untuk rakyat. Seperti apa yang saya lihat, mereka berjuang untuk rakyat dan masa depan Sabah.

“Untuk jaga akar umbi, kita perlu ‘rumah’ (parti) untuk kita bernaung. KDM adalah parti tempatan yang ada manifesto, yang utamakan akar umbi,” katanya.
Yang turut hadir, Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter dan Setiausaha Agung KDM, Willie Jude Junaidi.
Pada Oktober lalu, Ming Fung yang juga penyandang kerusi DUN Tanjung Papat mengumumkan keluar parti selepas tidak berpuas hati dengan kepemimpinan DAP yang tidak mengutamakan pemimpin veteran.
Sementara itu, Wetrom berkata, selepas DUN Tanjung Papat dan Elopura, KDM dalam pertimbangan untuk memperhalusi dua lagi kerusi DUN yang mahu ditandingi parti itu.
“Setakat ini, 38 kerusi sudah sah termasuk Tanjung Papat dan Elopura (akan ditandingi pada PRN17).
“Kita ada dua lagi kawasan dalam pertimbangan. Ada kemungkinan di kawasan pantai timur juga. Kita akan umum pada 13 November nanti,” katanya. – Info X