LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan dua vesel pukat jerut bilis yang didapati melanggar syarat lesen menangkap ikan di perairan Tabawan, Kunak, semalam.
Kedua-dua vesel terbabit ditahan menerusi Op Pluto Timur 2/2023 dan Op Tiris 3.0. kira-kira jam 3.30 petang di kedudukan kira-kira 0.5 batu nautika utara Pulau Tabawan.
Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali, berkata pihaknya mengesan kedua-dua vesel terbabit menjalankan aktiviti menangkap ikan di lokasi berkenaan.
Katanya, hasil pemeriksaan awal mendapati sebuah daripada bot dikendalikan tiga warga tempatan berusia antara 21 hingga 33 tahun, manakala sebuah lagi dikendalikan warga Filipina berusia 52 tahun bersama dua kru tempatan berusia 24 hingga 44 tahun.
“Semua kru mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Namun, siasatan lanjut terhadap dokumen mendapati kedua-dua vesel terbabit melanggar syarat lesen di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan kurang daripada 1.5 batu nautika dari daratan terdekat.
“Kedua-dua vesel bersama kru itu kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Lahad Datu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, tindakan tegas diambil bagi menunjukkan komitmen APMM dalam memastikan aktiviti perikanan dijalankan mengikut undang-undang serta menjaga kelestarian sumber marin negara.
Dzulfikhar menyeru komuniti maritim supaya terus mematuhi undang-undang laut dan menyalurkan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan di perairan negara.
“Maklumat boleh disalurkan melalui aplikasi WhatsApp di talian 016-930 5727 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera,” katanya. – Info X