KOTA KINABALU: Sebanyak 25 Pusat Penamaan Calon dibuka di seluruh negeri bagi membolehkan calon Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 mengemukakan pencalonan masing-masing, esok, 15 November 2025.
Sehingga hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menjual lebih 3,400 borang pencalonan dengan lebih 300 bakal calon sudah membayar deposit untuk bertanding pada pilihan raya itu.
Ditemui media di Dewan Sri Putatan pada Jumaat, Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun, berkata Pusat Penamaan Calon akan dibuka pada jam 9 pagi dan calon perlu mengemukakan borang pencalonan sehingga jam 10 pagi
“Kita buka dari jam 9 hingga jam 10, jadi kita minta semua bakal calon datang dalam tempoh itu. Bagi memproses borang itu kita tak ada limit, kita akan selesaikan sehingga semua borang yang telah dikumpulkan kepada kita dapat kita proses sepenuhnya.
“Yang penting bakal-bakal calon datang dulu dari jam 9 hingga 10 pagi, kita akan register kehadiran mereka dan prosesnya akan kita laksanakan sehingga selesai, jadi tak ada isu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dijadual mengemukakan borang pencalonan untuk mempertahankan kerusi DUN Sulaman di Dewan Sri Sulaman, Tuaran esok.
Selesai penamaan calon, maka kempen PRU Sabah Ke-17 terus bermula selama dua minggu sehingga tengah malam sebelum hari mengundi pada 29 November nanti.
Sebelum itu, proses pengundian awal yang membabitkan anggota keselamatan dijadual pada 25 November. – Info X