KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) sedia menjalin kerjasama bagi membentuk kerajaan dengan parti lain termasuk Warisan selepas keputusan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah diketahui pada 29 November ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bagaimanapun berkata, beliau sebelum ini sudah menjelaskan mengenai kedudukan BN yang tidak bekerjasama dengan Warisan pada pilihan raya itu.
Beliau berkata tidak pernah berbincang dengan Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengenai kerjasama kedua-dua pihak sebelum PRN17 dan tidak mungkin ada kerjasama setelah masing-masing bertanding di kerusi yang sama.
“Kalau ada kerjasama sudah tentu tiada pertembungan antara calon BN dengan Warisan, tapi kita tidak menolak kemungkinan selepas keputusan nanti pada 29 November, ada kerjasama bagi membentuk kerajaan.
“Rundingan itu nanti mungkin berlaku jika tiada mana-mana parti atau gabungan mencatat keputusan dominan nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Sesi Libat Urus Timbalan Perdana Menteri Merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Bersama Media, di sini, pada Sabtu.
Ahmad Zahid berkata demikian ketika ditanya jika ada sebarang kemungkinan kerjasama dengan Warisan pada pilihan raya kali ini.
Warisan bertanding di semua 73 kerusi DUN, manakala BN di 45 kerusi, yang bermakna kedua-duanya bertembung di 45 kerusi.
Sementara itu, mengenai pertembungan BN dengan Pakatan Harapan (PH) di dua kerusi, iaitu Karamunting dan Kemabong, Ahmad Zahid berkata perkara itu tidak menimbulkan masalah kepada kedua-dua gabungan.
Katanya, pertembungan itu sudah tidak dapat dielak, namun BN akan memastikan tidak berlaku pertembungan dengan jentera PH di kedua-dua kawasan terbabit.
“Untuk Kemabong dan Karamunting walaupun kedua-dua bertanding tapi tiada masalah, tetap ada persefahaman dan tidak menjejaskan perpaduan BN-PH,” katanya.
BN diwakili MCA manakala PKR mewakili PH meletak calon masing-masing di kerusi DUN Karamunting, manakala UMNO menurunkan calonnya atas tiket BN, diikuti DAP mewakili PH di kerusi DUN Kemabong. – Info X