TAWAU: Operasi membanteras kartel dadah di negara ini dilakukan secara senyap, terancang dan tanpa gembar-gembur bagi mengelakkan sindiket mengubah taktik, tegas Ketua Polis Negara, Datuk Sri Mohd Khalid Ismail.
Katanya, pendekatan berprofil rendah itu penting kerana kegiatan pengedaran dadah semakin licik dan melibatkan jaringan antarabangsa, sekali gus memerlukan strategi yang lebih ketat serta tidak diumumkan secara terbuka.
“Penugasan polis sentiasa berjalan tanpa perlu digembar-gemburkan. Ini seperti yang disebutkan Tan Sri Razarudin Husain sebelum ini.
“Kerjasama dengan rakan strategik serta negara-negara berkaitan sentiasa diteruskan,” katanya pada sidang media Majlis Perjumpaan Khas bersama warga PDRM sempena persiapan Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17, di sini, hari ini.
Mohd Khalid berkata, kolaborasi rapat dengan agensi luar negara, termasuk Australian Federal Police (AFP), telah membantu PDRM menumpaskan banyak kes penyeludupan dan pengedaran dadah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.
“Seperti yang saya umumkan dalam kenyataan media baru-baru ini, inilah antara kejayaan besar yang dicapai,” katanya.
Ditanya jumlah kartel yang masih aktif, Mohd Khalid enggan mendedahkan angka sebenar, namun menegaskan operasi akan terus diperhebat.
“Kita tidak dapat mendedahkan kartel berkenaan, tetapi operasi dan tangkapan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.
“Pihak narkotik akan mengumumkan kejayaan membanteras jenayah dadah pada masa yang sesuai,” katanya.
Beliau memberi jaminan bahawa PDRM komited mematahkan saki-baki rangkaian dadah di seluruh negara melalui operasi yang tersusun, risikan mendalam dan kerjasama antarabangsa. – Info X