Search

PRU Sabah: Dari jalan kampung hingga jalan bertingkat, wajah Karambunai berubah di bawah BN

November 20, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Rakyat di DUN Karambunai menikmati banyak limpahan pembangunan dibawa kerajaan Barisan Nasional (BN) sepanjang pentadbirannya sebelum ini yang sekarang memberi keselesaan kepada rakyat.

Dari sekecil-kecil projek jalan kampung hinggalah ke projek jalan bertingkat menelan belanja ratusan juta, perubahan yang dilihat di kawasan DUN itu pada hari ini kebanyakannya dimulakan ketika BN memerintah.

Calon BN Karambunai, Datuk Yakub Khan, berkata sumbangan BN tidak pernah terhenti, malah tetap berterusan di bawah wakil rakyatnya meskipun ia bukan sebahagian daripada kerajaan negeri.

Katanya, BN sentiasa komited membantu rakyat dan membawa pembangunan ke merata pelusuk tempat, sejajar komitmennya terhadap perjuangan membela rakyat dan memakmurkan semua kawasan di Sabah.

Itu antara mesej yang disampaikan Yakub kepada rakyat Karambunai sepanjang kempennya dalam mendekati pengundi yang akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU) Ke-17 pada 29 November ini.

Pada masa yang sama, Yakub turut menjelaskan peluang-peluang lebih luas yang bakal dinikmati rakyat DUN Karambunai jika BN kembali membentuk kerajaan selepas pilihan raya itu nanti.

Malam tadi, beliau membawa mesej yang sama kepada kira-kira 200 penduduk Taman Bukit Setia, Sepanggar, pada Program Ceramah Rapat Umum BN yang turut dihadiri ramai anak muda.

“Dalam pertemuan ini, saya berkongsi pelbagai isu dan cerita daripada cabaran semasa sehinggalah peluang masa depan yang saya percaya mampu membuka mata generasi muda untuk menilai apa yang benar-benar membawa kebaikan kepada mereka dan komuniti kita semua.

“Melihat semangat dan keterbukaan mereka malam ini benar-benar memberi inspirasi. Semoga malam ini menjadi permulaan kepada lebih banyak perubahan positif yang akan kita usahakan bersama,” katanya.

DUN Karambunai merangkumi sebahagian besar kawasan pinggir bandar raya Kota Kinabalu bermula dari Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah di Likas ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) hingga ke Indah Permai, Kuala Manggatal, Teluk Sepanggar, Tobobon dan Telipok.

Kawasan persempadanannya turut merangkumi Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP), Politeknik Kota Kinabalu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Sabah dan beberapa lagi institut latihan serta kemahiran.

Karambunai turut menempatkan Pelabuhan Teluk Sepanggar dan Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain resort terkemuka Nexus Karambunai.

Semua institusi itu dibina dan dibangunkan sepanjang pemerintahan BN sebelum ini, menjadikan Karambunai sebagai kawasan penting bagi Sabah.

Di sekitarnya turut terdapat perkampungan tradisi yang masih memerlukan perhatian, bermula di kawasan pantai seperti Kibagu, Numbak, Gentisan dan Karambunai hingga ke kawasan berbukit di Telipok. – Info X