Search

PRU Sabah: Dr Aififi tumpu selesai isu banjir di DUN Petagas

November 22, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Isu banjir di beberapa kampung di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Petagas menjadi antara tumpuan calon Perikatan Nasional (PN), Dr Afifi Saif jika memenangi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17.

Beliau berkata, penduduk di Kampung Tebongon, Kampung Ulu, Kampung Sailan hingga ke Kampung Teguli, di sini, antara kawasan yang sering terjejas setiap kali hujan lebat.

“Ini adalah antara perkara utama yang kita perjuangkan di Petagas ini kerana masalah banjir kilat di beberapa kampung di sini sudah berlarutan sejak sekian lama, namun tiada penyelesaian.

“Bayangkan, kalau hujan dalam sejam ke tiga jam tanpa henti pasti berlaku banjir kilat di kampung terbabit. Ini tentunya menyukarkan kehidupan penduduk,” katanya.

Beliau ditemui ketika berkempen bertemu pengundi di perkarangan Plaza Royal Putatan, di sini, semalam.

Turut hadir Pengerusi PN yang juga bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Kelantan, Datuk Ahmad Marzuk Shaary.

Dr Afifi berkata, masalah banjir itu berpunca daripada sistem perparitan yang kurang baik, selain keadaan saliran yang tinggi berbanding paras tanah, menghalang air mengalir dengan lancar.

Katanya, masalah itu bukan saja menjejaskan keselamatan penduduk dan menyebabkan kerosakan harta benda, malah menyebabkan hidup penduduk terganggu.

“Saya sering membawa perkara ini kepada pihak berwajib untuk tindakan pembaikan, termasuk penyelarasan semula paras parit dan kerja menaik taraf saliran,” katanya.

Beliau menegaskan jika diberi peluang menjadi wakil rakyat pada 29 November ini, beliau komited untuk menyuarakan isu itu pada Persidangan DUN Sabah sebagai tindakan segera.

Perkara itu katanya perlu memandangkan masalah berkenaan sudah lama berlanjutan dan berpotensi menjadi lebih buruk jika tiada penyelesaian jangka panjang dilaksanakan. – Info X