KOTA KINABALU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau, Arfanshah Abdul Gafar percaya beliau dipilih pucuk pimpinan parti atas keyakinan terhadap kemampuannya untuk membawa nafas baharu di kawasan itu.
Beliau mengaku tidak sempurna, selain kurang dikenali kerana masih baharu, namun menganggap kepercayaan yang diberikan BN kepadanya pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU Sabah) Ke-17 sebagai satu amanah dan keyakinan terhadapnya.
Atas kepercayaan dan keyakinan terhadapnya, anak muda yang lebih mesra disapa sebagai Joe Arfan itu memohon sokongan rakyat Darau untuk memberinya peluang memenangi PRU Sabah Ke-17 bagi membuktikan kemampuannya membawa nafas baharu di DUN berkenaan.

“Saya datang sini mudah saja, tiada perkara lain atau apa-apa yang saya minta, apa yang penting ialah sokongan kamu (rakyat Darau).
“Saya bukanlah calon yang ‘perfect’, tapi kenapa BN pilih saya, mungkin kerana dia mahu saya bawa nafas baharu di Darau,” katanya.
Arfanshah berkata demikian pada Program Santai Busking Pemuda bersama beliau dan penyanyi jemputan, Datuk Hattan dan Black Hanifah, pada malam Selasa.
Katanya, dalam kalangan rakyat di DUN Darau, beliau masih kurang dikenali, namun ia bukan masalah baginya kerana beliau sedaya upaya mendekati masyarakat dan semua pengundi di DUN Darau.

“Saya faham saya ini tidak dikenali di Darau, orang hanya kenal bapa saya saja. Jadi saya kena kenalkan diri dengan melawat semua tempat di kawasan ini yang saya usaha selesaikan sebelum hari mengundi Sabtu ini.
“Jadi, saya minta tuan puan bantu saya dan insyAllah pada 29 haribulan nanti kita pastikan Darau menyumbang satu kerusi untuk pembentukan kerajaan BN. Saya percaya kita menang juga pada 29 November ini,” katanya.
Sementara itu, Arfanshah mengingatkan bahawa sebagai parti yang sudah lama bertapak dan memerintah di Sabah, BN tidak boleh dinafikan menyumbang banyak kebaikan kepada negeri ini.

“BN ini sudah lama dan sepanjang berkuasa sebelum ini banyak yang dibuat kerajaan pimpinannya seperti membina hospital, sekolah dan lain-lain, malah Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) yang ada sekarang juga dibina atas usaha kerajaan BN.
“Kita bukan mengungkit, tapi untuk menyambung legasi kita semua, termasuk orang tua, bukan orang muda saja. Saya akan sentiasa bersama dan berada dekat dengan kamu,” katanya.
Beliau juga mengingatkan rakyat di DUN Darau supaya tidak terpengaruh dengan sentimen dibawa parti tempatan kerana tiada bezanya rakyat di bawah satu negara yang dipanggil orang Malaysia.

Program itu berlangsung meriah dengan persembahan nyanyian Datuk Hattan dan Black Hanifah walaupun hujan lebat pada awal majlis. – Info X